Wednesday, 19 February 2014

Superbike dunia pertama dianjur

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menjadi tuan rumah buat julung kali Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 6 hingga 8 Jun ini.

SIC akan menjadi tuan rumah bagi pusingan keenam daripada 14 siri perlumbaan, dengan musim baharu bermula di Philip Island, Australia pada 23 Feb ini.

Pengarah Jabatan Pemasaran dan Komersial kejohanan itu, Marc Saurina berkata acara tiga hari itu serupa dengan perlumbaan Formula Satu dan MotoGP tetapi lebih menumpukan kepada sesi di litar.

Beliau berkata ini akan lebih menggembirakan peminat-peminat dengan aksi perlumbaan dan penglibatan lebih banyak pengeluar seperti BMW, Kawasaki, MV Agusta, Aprilia, Suzuki, Bimota, Honda dan EBR.

"Motosikal-motosikal yang bertanding dalam WSBK adalah versi motosikal-motosikal yang dijual untuk orang ramai tetapi telah ditala dan berbeza daripada MotoGP di mana motosikal yang digunakan adalah jentera-jentara prototaip atau dibina khusus untuknya," kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

Saurina berkata latihan bebas akan diadakan pada Jumaat, selain dua sesi kelayakan pada Sabtu dan dua sesi perlumbaan pada Ahad.

Selain perlumbaan utama superbike, WSBK juga mengetengahkan beberapa kejohanan sokongan yang menarik iaitu Kejohanan Supersport 600cc dan Superstock 1000, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran SIC Edward Lim berkata SIC menceburi WSBK memandangkan minat yang kuat dalam perlumbaan motosikal beberapa tahun lepas dan didorong hakikat bahawa Malaysia mempunyai jutaan pemilik motosikal yang jentera mereka mudah diubah suai bagi sukan ini.

Beliau berkata langkah SIC juga didorong kehadiran banyak bakat baharu di Malaysia dalam sukan ini dan ini dibuktikan dengan persembahan hebat pelumba-pelumba Malaysia dalam acara Moto2 dan Moto3.

Lim berkata inisiatif itu akan membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk menceburi WSBK pada masa akan datang.

Tiket-tiket serendah RM30 telah mula dijual dan mereka yang membeli awal sebelum 15 April ini akan ditawarkan diskaun, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment