SHAH ALAM - Ibu kepada pensyarah bahasa Inggeris Kolej Antarabangsa Cybernatics yang mati dibunuh dua tahun lalu, Normaliah Mahmood, 53, di sini memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia lebih gemar ke hospital jika tidak sihat.
Wanita itu memaklumkan dia tidak menyenangi kehadiran tertuduh, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, atau dikenali sebagai Shah bersama rakan-rakan di rumahnya, Taman Kinrara, Puchong bagi tujuan mengubatinya.
"Sewaktu mereka hendak pulang, saya cakap kat Ustaz Shah, pergi berambuslah kau!," katanya pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam tertuduh Mohamad Zul Shahril, Afifuddin Ahmad Hafifi.
Wanita yang memakai baju kurung bewarna coklat itu tidak bersetuju dengan peguam, Afifuddin bahawa dia kecewa kerana mangsa, Zara Eleena, 23, membawa individu untuk mengubatinya.
"Tiada sebab untuk kecewa dengan Yaya (Zara Eleena) kerana dia satu-satunya anak saya. Lagipun dia seorang yang prihatin.
"Saya kecewa kenapa Shah yang sibuk datang untuk mengubati saya?" katanya sebak.
Sebelum itu, pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin, Normaliah mengetahui barang kemasnya dibawa keluar dari rumah selepas suaminya, Omar Peter Abdullah, 56, memberitahu melalui telefon pada 8 Mac sebaik sahaja lelaki itu tiba di Kinrara.
Dia yang ketika itu berada di Gelang Cincin, Segamat, Johor selepas disarankan Zara Eleena bagi mengelakkan hantu, menegaskan kepada suaminya yang dia mahu kembali barangan kemasnya itu.
"Omar Peter beritahu, Yaya memaklumkan bahawa Ustaz Shah yang mengambil barangan kemas itu untuk dibersihkan," katanya.
Aidatul Azura : Siapa yang puan maksudkan Ustaz Shah?
Normaliah : Hanya Shah sahaja yang dipanggil ustaz. (Sambil menunjukkan jari
ke arah Mohamad Zul Shahril yang berada di kandang tertuduh.)
(Menangis) Kenapa dia sibuk dalam keluarga kami? Kenapa dia
jauhkan kami? Dia bunuh mereka. Tolong!!
Wanita itu kemudiannya ditenangkan oleh jurubahasa, sebelum mahkamah menyambung prosiding.
Aidatul Azura : Adakah puan menghubungi Omar Peter selepas itu?
Normaliah : Ya. Omar Peter memberitahu Yaya keluar berjumpa dengan Shah
untuk bertanyakan mengenai barang kemas. Selepas pulang
dari masjid, lebih kurang jam 8.30 malam saya
menghubungi semula suami untuk bertanyakan mengenai barangan
kemas sebelum kami bergaduh.
Aidatul Azura : Teruskan. Ceritakan apa yang berlaku selepas itu.
Normaliah : Itulah perbualan terakhir antara saya dengan Omar Peter. Selepas
jam 11.30 malam, saya menghubungi sekali lagi, tapi tiada jawapan
daripada mereka berdua.
Wanita itu memberitahu dia membuat laporan polis di Segamat pada 11 Mac 2012 selepas gagal menghubungi suami serta anaknya.
"Polis menasihati agar saya menghubungi saudara di Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis," katanya yang menghubungi bapa saudara suaminya, Paul untuk membantunya.
Aidatul Azura : Ada atau tidak sesiapa menghubungi puan?
Normaliah : Ya, Sarjan Amathi ada menghubungi dan menyuruh saya pulang
dengan membawa kunci kerana dia tidak dapat memasuki rumah.
Saya tiba di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) pada jam 8 malam
dan dijemput oleh anak saudara suami, Pedro.
Beliau berkata, sebaik tiba di pekarangan rumahnya, dia melihat kereta peronda polis dan mereka meminta kunci rumah.
"Saya tidak dibenarkan memasuki rumah kerana polis ingin membuat pemeriksaan sehinggalah ternampak trak polis tiba dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
"Pedro menghampiri saya dan memberitahu bahawa Omar Peter dan Yaya sudah tiada (meninggal),"katanya.
Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22; Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, dituduh di mahkamah atas jenayah membunuh Zara Eleena di sebuah rumah di Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, di antara jam 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh pesara syarikat kewangan, Omar Peter, 56, di tempat sama, antara jam 11.30 malam 8 Mac dan 1.30 pagi keesokannya.
Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment