KUALA LUMPUR: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mengesahkan berlakunya krisis air di negeri itu seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Negri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.
Walau bagaimanapun, Pengurus Besar Sains Zulkifli Ibrahim berkata keadaan masih berada di dalam kawalan.
“Ini kerana paras air di empangan Sg Terip, walaupun semakin hari semakin menyusut, masih berada di atas paras kritikal,” katanya kepada Astro AWANI.
Zulkifli menjelaskan bahawa empangan Sg Terip adalah satu empangan yang sangat penting kerana air dari Sungai Muar di alirkan ke Talang yang seterusnya dialirkan ke Kelinchi dan Sg Terip sebelum dihantar kepada pengguna.
“Gangguan bekalan air yang berlaku ini adalah disebabkan tekanan air yang rendah, pertambahan penduduk dan paip pecah. Tambahan pula hujan tidak turun selama dua bulan.
“Jadi, kami nasihatkan pengguna supaya tidak panik atau bimbang akan berlaku pencatuan air,” katanya.
The Star Online melaporkan Mohamad Hasan mengumumkan bahawa Negeri Sembilan alami
krisis air di negeri itu ekoran bekalan air yang terputus di beribu-ribu isi rumah sejak Rabu.
Mohamad Hasan berkata bilik Operasi Bencana Alam negeri itu turut diaktifkan untuk menyelaraskan usaha untuk membekalkan air bersih kepada pengguna di kawasan yang terjejas.
"Hujan tidak turun di sini sejak dua bulan yang lalu dan ini telah menyebabkan paras air di tujuh empangan mencapai tahap kritikal.
“Malah, kami juga tidak dapat mengambil air dari Batang Benar dan Sg Ulu Muar yang menyediakan air mentah kepada empangan Talang, Kelinchi dan Sg Terip, kerana kedua-duanya sudah kering,” katanya kepada The Star Online.
Beliau berkata lebih 8,000 isi rumah terjejas akibat kekeringan empangan itu.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment