Sunday, 23 February 2014

Nasib primadona...

Erra Fazira
Erra Fazira


TERNYATA, apa tertulis dalam bait lagu, Yang Terindah Hanyalah Sementara, nyanyian, Erra Fazira, ini lebih dekat untuk menggambarkan situasi dirinya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila rumah tangga yang dibina lebih enam tahun lalu berkecai akhirnya.

Tidak perlu menuding jari pada Erra mahupun bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, kerana hanya mereka tahu apa yang berlaku di sebalik perpisahan ini.

Walaupun ia adalah keputusan bersama (bercerai), namun air mata juga yang menjadi jawapan kepada gelojak jiwa, Primadona Melayu ini.

Ketenangan yang dipamerkan ketika Engku Emran melafazkan cerai hanyalah pandangan luaran sahaja kerana yang pasti, jiwa wanita ini juga turut menangis.

Lebih memilukan, perpisahan ini juga menjadikan Erra sepi sendiri apabila hak jagaan untuk anak tunggalnya, Engku Aleesya, turut diserahkan kepada bekas suami.

Terpaksa berdepan dengan masyarakat yang sentiasa dahagakan penjelasan, kisah penceraian ini juga turut menjadi bahan cerita malah, ada yang cuba mempersendakannya di internet dan laman-laman sosial.

Akui Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, gelora, kecamuk, tenang atau gusar, hanya empunya diri yang rasai.

"Saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang sering membuat andaian tanpa mengetahui kebenarannya. Ianya amat keterlaluan!

"Sejak awal lagi, saya memang serba salah untuk bercerita. Ramai yang cuba menghakimi perasaan saya. "Mereka tidak lalui apa yang saya lalui, jangan mudah untuk menilai pada pandangan kasar. Tiada siapa yang tahu dalam hati saya," jelasnya.

Bibit cinta

Menyelak kembali kisah cinta bekas Ratu Cantik ini bersama Engku Emran, mereka dikatakan mula rapat ketika Erra menyertai rombongan persembahan Suria FM di Sabah.

Ketika itu, Engku Emran merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan hubungan itu terus berputik sehingga mereka sepakat untuk bertunang pada 7 September 2007.

Tidak menunggu lama akhirnya, pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis yang gilang gemilang pada 25 Oktober, tahun yang sama.

Perkahwinan itu sekali gus menamatkan kontroversi, di mana Erra dikatakan pernah mempunyai hubungan istimewa bersama pengarah dan penerbit, Hans Isaac sebelum ini.

Walaupun bintang filem Maria Mariana, ini sering menafikan hubungan yang terjalin bersama pengarah filem itu, namun mereka dikatakan mula rapat ketika bekerjasama dalam filem Persona Non Grata pada 2005.

Pernah berkahwin dengan penerbit terkenal, Yusry Abd Halim, pada 15 Jun 2003 namun, hubungan itu hanya bertahan tiga tahun sahaja setelah mereka sah bercerai pada 16 Jun 2006.

Pada tahun 1996, Erra juga pernah bertunang dengan penyanyi rock Awie, namun mereka memutuskan pertunangan itu pada penghujung 1998.


Kontroversi bermadu...

Panas yang disangka hingga ke petang tidak berlanjutan hingga ke siang hari apabila, rumah tangga pasangan ini mula menjadi berita sensasi.

Lumrah sebagai selebriti, walaupun pelakon, penyanyi dan pengacara ini tidak terlalu terbuka dalam berkongsi hal peribadi, namun desas-desus mengenai keretakan rumah tangga mereka mula bertebaran sejak 2011.

Malah, tidak kurang juga yang mula menyebarkan berita dan khabar angin bahawa Engku Emran telah berkahwin lain.

Namun, ketika itu Erra mengakui dia tidak mudah melatah dengan kontroversi yang mengaitkan rumah tangganya dan memberitahu bahawa ianya adalah sama sekali tidak benar.

Hampir setahun menjadi pemerhati, akhirnya Engku Emran tampil memberi penjelasan mengenai spekulasi berkenaan. Malah, dia mengakui bahawa tidak pernah terlintas untuk memiliki lebih daripada seorang isteri.

Walaupun ramai yang masih tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Erra bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi yang dilihat sebagai 'pemuas nafsu' masyarakat.

Namun, spekulasi itu akhirnya terjawab apabila pasangan ini mengakui tidak lagi tinggal bersama sejak setahun enam bulan.


Hilang hak

Sepanjang tempoh perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 5.

Dilahirkan pada Mac 2009, kisah puteri tunggal pasangan ini pernah menjadi bualan apabila Erra dikatakan 'menyorok' anaknya sepanjang tempoh berpantang.

Pada majlis cukur jambul Aleesya, Erra mengumumkan bahawa mereka akan muncul dalam rancangan realiti, Gugu Gaga Erra sekali gus menjadikan Erra sebagai artis Malaysia pertama yang mempunyai rancangan realiti mengenai anak.

Sebelum ini, Erra kerap kali memuat naik video dan gambar puterinya itu di laman sosial miliknya untuk berkongsi perkembangan Aleesya bersama peminat.

Namun, kini waktu yang ada untuk bersama Aleesya semakin terhad apabila Erra bersetuju untuk melepaskan hak penjagaan anak tunggalnya Engku Emran.

Malah, akui Erra, dia percaya bahawa itu adalah jalan yang terbaik buat Aleesya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment