Sunday, 23 February 2014

25 % banduan di Sarawak warga asing

Banduan. - Gambar hiasan

SIBU - Sarawak kini mempunyai 1,287 banduan yang ditempatkan di enam penjara di seluruh negeri dengan 25 peratus daripadanya adalah warga asing, kata Pengarah Jabatan Penjara Negeri, Abdul Kadir Rais.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada satu taklimat pencegahan jenayah dengan 600 pelajar sekolah menengah dan pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara dari Kem Bumimas dan Junaco Park, di Pusat Sivik di sini hari ini.

Acara sehari itu dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia cawangan Sarawak.

Abdul Kadir berkata perangkaan itu juga termasuk 30 yang dalam parol dan 41 yang bakal menjalani hukuman gantung, kebanyakannya kerana membunuh.

"Bagi pesalah-pesalah juvana, kita ada 59 sedang menjalani hukuman. Kita telah menghantar 55 orang ke Sekolah Henry Gurney di Keningau, Sabah. 

"Ada rancangan untuk menubuhkan kemudahan pemulihan seperti itu di Kuching. Ini adalah atas permintaan para ibubapa. Kami berharap akan menubuhkan sekolah ini selewatnya-lewatnya tahun hadapan," katanya.

Terdahulu di dalam taklimatnya, beliau berkata keadaan jenayah di negeri ini masih lagi terkawal.

"Jika kamu ingin membuat perbandingan, Penjara Kajang satu daripada penjara-penjara di Selangor menempatkan lebih daripada 5,000 banduan," katanya.

Abdul Kadir berkata jabatannya masih lagi mengenal pasti tapak sesuai untuk pembangunan Penjara Sibu yang baharu kerana penjara sedia ada kecil dan terletak dalam pusat penempatan penduduk dan sekolah-sekolah. - Bernama

No comments:

Post a Comment