Sunday, 23 February 2014

Persahabatan kekal ke akhir hayat

Persahabatan hingga akhir hayat
Anggota keluarga menunggu di tepi sungai sambil berdoa.


SEGAMAT - Ibu kepada salah seorang daripada lapan remaja yang lemas di Sungai Buloh Kasap, kelmarin, menyifatkan kehilangan anaknya itu terlalu besar buat keluarga.

Puziah Ahmad, 42, ibu kepada Mohd Nazreen Zainal, 14, berkata, malah dia sangat terharu selepas diberitahu, anaknya lemas semasa cuba menyelamatkan rakannya dan wanita tersebut menyifatkan pengorbanan anaknya itu sememangnya seiring dengan keperibadian mangsa yang baik hati dan sentiasa disenangi rakan-rakan.

“Saya tidak sangka Nazreen sanggup menggadaikan nyawanya semata-mata untuk menyelamatkan rakan-rakannya.

"Jelas, persahabatan mereka semua kekal ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Suri rumah tersebut berkata, mangsa tidak minat bersukan cuma kadang kala mengikuti rakan-rakannya berjoging.

Dia menyifatkan anaknya itu seorang yang bijak serta mempunyai masa depan cerah dalam pelajaran.

“Namun, hayatnya tidak panjang dan dia terlebih dulu dijemput Ilahi. Kehilangan ini berlaku dalam sekelip mata tetapi kami sekeluarga reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian, sememangnya dia tidak sedap hati selepas anaknya itu keluar rumah untuk berjoging bersama rakan-rakannya kira-kira jam 6.20 pagi.

“Saya berasa tidak sedap hati bila Nazreen keluar rumah pagi semalam (kemarin). 

"Selepas bersarapan, kami sekeluarga bertolak ke Kampung Pudu, dekat sini untuk menjengah keluarga manakala Nazreen mengikut rakan-rakannya berjoging.

"Semasa tiba di Kampung Pudu, kami dikejutkan dengan berita sedih ini,” katanya sebak.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment