Monday, 17 February 2014

Kilat punca hutan Gunung Tempurung terbakar


KAMPAR: Kawasan Gunung Tempurung yang mengandungi batu kapur kira-kira seluas empat hektar di Kampung Sungai Siput Selatan di sini terbakar dipercayai akibat panahan kilat sejak petang semalam.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Ruhisha Haris berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan pada 7.49 malam semalam selepas penduduk melihat api dari arah gunung itu.

"Dua buah jentera dengan 25 anggota dikejarkan ke kawasan kebakaran dan memulakan operasi pemadaman dengan menggunakan pam angkut berkapasiti tinggi dari kaki gunung. Setakat ini kebakaran telah berjaya dikawal dan kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya api tidak merebak ke kawasan lain," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata bagaimanapun jika api didapati terus merebak, pihaknya akan membuat 'fire break' di kawasan sekeliling bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan gunung yang terletak bersebelahan.

Pam berkapasiti tinggi digunakan memandangkan permukaan gunung yang sangat curam iaitu ada kawasan 80 ke 90 darjah sekali gus mendatangkan risiko dan berbahaya kepada anggota bomba, katanya.

"Kita akan terus memantau selagi asap keluar dan dijangka dalam tempoh tiga ke empat jam kebakaran ini akan sampai ke puncak gunung," katanya.

Selain itu, pihak bomba juga telah melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter pada petang tadi, katanya.

Kawasan gunung tersebut terletak berhampiran kolam-kolam penternakan ikan namun jauh dari ladang kelapa sawit. - Bernama

No comments:

Post a Comment