Friday, 28 February 2014

Denggi catat 29 kematian, kes meningkat 316%


KUALA LUMPUR: Sebanyak 29 kematian akibat denggi dilaporkan sejak Januari sehingga 22 Feb, peningkatan 263 peratus atau lapan kematian berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata 16,383 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga 22 Feb, meningkat 316 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Bagi minggu ke lapan tahun ini (16 Feb - 22 Feb 2014), empat kematian dilaporkan berlaku melibatkan dua wanita berusia 34 tahun dan 37 tahun serta dua lelaki berusia 21 tahun dan 35 tahun kerana komplikasi demam denggi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sejumlah 580 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 12 negeri antaranya 354 lokaliti di Selangor, 66 lokaliti di Negeri Sembilan, 48 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, 30 lokaliti di Johor, 25 lokaliti di Perak dan 23 lokaliti di Kelantan.

Tujuh negeri turut menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Sabah, Melaka, Kelantan dan Sarawak, katanya.

Berdasarkan situasi denggi yang mencatatkan kes tinggi, program gotong-royong 'Jom Hapus' Tempat Pembiakan Aedes akan diteruskan.

"Memandangkan cuaca kemarau kini, kerajaan menasihatkan orang ramai yang perlu menyimpan air untuk kegunaan harian agar memastikan bekas-bekas air ditutup dengan rapat dan diletakkan ubat jentik-jentik (abate)," kata Dr Subramaniam.

Orang ramai, katanya, boleh mendapatkan bekalan ubat pembunuh jentik-jentik di semua pejabat kesihatan berhampiran.

Dalam pada itu, masyarakat turut diminta supaya mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.

Antaranya memakai baju lengan panjang dan seluar panjang serta pakaian berwarna cerah, menggunakan repelen nyamuk di luar rumah terutamanya pada waktu antara 5 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 8 malam serta menggunakan alat penghalau nyamuk ketika berada di rumah.

- Bernama

No comments:

Post a Comment