Thursday, 13 February 2014

Bekas pengurus besar dipenjara 56 tahun

Rasuah

KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Besar Kewangan Mimos Berhad hari ini dijatuhi hukuman penjara berjumlah 56 tahun dan denda RM5.02 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap lapan pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah melebihi RM500,000, 12 tahun lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas Khairuddin Khalid, 54, didapati bersalah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, Khairuddin bernasib baik hanya perlu menjalani hukuman penjara tujuh tahun apabila mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Namun, tertuduh masih perlu membayar denda yang ditetapkan, sekiranya gagal, dia akan dipenjara 64 bulan. 

Dalam penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata keterangan saksi pembelaan tidak menyokong antara satu sama lain dan keterangan tertuduh juga disifatkan penafian semata-mata selain tidak berasas.

Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya sendiri suapan melalui empat cek semuanya bernilai RM985,248 daripada Pengerusi Eksekutif Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Muhammad Khalid Ismail.

Daripada jumlah itu, tertuduh didakwa menerima RM502,002.37 sebagai upah kerana melaburkan dana pelaburan Mimos Berhad bernilai RM5.5 juta dengan syarikat pelaburan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Bagi empat pertuduhan memperoleh rasuah pula, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap individu yang sama, serta jumlah sama mengikut Seksyen 11(a) akta yang sama.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai ketua pegawai operasi di sebuah syarikat teknologi maklumat, didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan di sini, antara 23 Mei 2001 dan 8 Februari 2002.

Terdahulu, dalam rayuan yang dikemukakan, peguam tertuduh Azi Azlin Zulkifli berkata mahkamah perlu mengambil kira kesalahan pertama anak guamnya itu selain isteri tidak bekerja serta menyara ibunya sakit tua.

"Mohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dan denda minimum ke atas anak guam saya selain mengambil kira faktor-faktor lain," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nur Lokman Samingan memohon hukuman setimpal berbentuk pencegahan dan pengajaran untuk tertuduh dan masyarakat. - Bernama

No comments:

Post a Comment