Wednesday, 15 January 2014

Singapura nafi laporan NYT pekerja imigran ditindas


SINGAPURA: Singapura hari ini menafikan rusuhan lebih 400 pekerja asing dari Asia Selatan bulan lalu berpunca akibat rasa tidak puas hati mereka berhubung upah dan soal kebajikan.

Dalam sepucuk surat sebagai reaksi kepada lidah pengarang yang tersiar di New York Times pada akhir Disember lepas, dutanya ke Amerika Syarikat Ashok Mirpuri berkata "kami melayan pekerja asing dengan hormat tetapi akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang."

"Pekerja asing menyumbang kepada ekonomi. Mereka bekerja secara sah dan sukarela. Kami berusaha untuk memastikan mereka dilayan dengan baik dan dibayar dengan saksama," katanya.

Surat berkenaan dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Singapura yang mendakwa akhbar berkenaan enggan menyiarkannya.

Lidah pengarang New York Times pada 27 Disember membayangkan bahawa rusuhan di Little India pada 8 Disember itu berpunca daripada pekerja asing yang kecewa dengan upah rendah dan keadaan hidup yang tidak selesa.

Menurut Mirpuri, New York Times tidka memberikan "bukti yang cukup" untuk menyokong dakwaannya tentang kenapa pekerja asing itu merusuh selepas seorang buruh binaan warga India terbunuh dilanggar oleh sebuah bas di kawasan itu tempat ribuan pekerja asing berkumpul pada hujung minggu.

Rusuhan itu menyebabkan 39 anggota polis dan petugas kecemasan cedera.

Sejumlah 25 buah kenderaan termasuk 16 kereta polis dirosakkan serta dibakar dalam kejadian rusuhan tersebut yang merupakan insiden pertama dalam masa lebih 40 tahun.

Lebih 50 pekerja asing dihantar pulang manakala sekurang-kurangnya 25 lagi berdepan tuduhan merusuh yang boleh dikenakan hukuman penjara.

"Penilaian awal kerajaan mendapati mereka bertindak spontan kesan daripada kemalangan maut itu.

Dalam apa juga keadaan, sebuah jawatankuasa siasatan yang diketuai oleh seorang hakim bersara akan menentukan punca sebenar yang membawa kepada rusuhan tersebut," kata duta itu.

Singapura sangat bergantung kepada buruh asing. Daripada penduduknya yang berjumlah 5.4 juta orang, hanya 3.84 juta adalah warganegara dan pemastautin tetap.

Di kalangan pekerja asing, hanya 700,000 orang memegang permit kerja dalam sektor pembinaan dan sektor-sektor lain dngan lebih 200,000 bekerja sebagai amah.

Lidah pengarang New York Times itu menyebut "kekecewaan terhadap sikap tidak menghargai warga Singapura dan pekerja asing yang dibayar gaji rendah telah berlarutan sejak bertahun-tahun kebelakangan," dan meledak dalam rusuhan itu. - AFP 

No comments:

Post a Comment