Wednesday, 15 January 2014

Pendaki wanita mati jatuh gaung di Bukit Tabur

Mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian ke HKL dengan sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. --fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang pendaki wanita yang dilaporkan terjatuh ke dalam gaung di Bukit Tabur, Taman Melawati di sini mati selepas ditemui pengsan oleh pasukan mencari dan menyelamat Selasa.

Soleha Abd Rahman, 25, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4 petang selepas dilaporkan mengalami pendarahan dalaman akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter.

Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Khairuldin Saad berkata mangsa meninggal sebaik tiba di hospital.

Pelajar jurusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu mendaki bukit bersama tujuh rakannya kira-kira 8 pagi.

Ketua Bahagian Operasi Pasukan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Juyana @ Azlan Musa berkata mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian ke HKL dengan sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Mangsa ditemui pengsan di tebing curam di kawasan berbatu dan mengalami pendarahan di bahagian mulut dan mungkin terdapat kecederaan dalaman," kata Azlan kepada pemberita.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari gaung yang curam itu.

"Mangsa dikatakan terjatuh ketika berada di Check Point 10 untuk ke Check Point 11 manakala tujuh lagi rakannya dilaporkan selamat dengan menuruni bukit menggunakan trek asal.

"Ketika kejadian, kesemua mereka berada pada ketinggian kira-kira 470 meter dari aras laut," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat Soleha disertai 60 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.

Kakak sulung mangsa dari lima beradik itu, Fadilah Ab Rahman, 38, berkata jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung di Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu malam ini selepas bedah siasat dan akan dikebumikan Rabu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment