Wednesday, 15 January 2014

Kenapa harga limau mandarin meningkat tahun ini?


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemborong Buah-Buahan KL mengesahkan bahawa harga limau mandarin akan meningkat, lebih-lebih lagi sempena sambutan Tahun Baru Cina hujung bulan ini.

Setiausaha persatuan itu, David Tey berkata margin kenaikan harga adalah di antara 20 hingga 35 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

"Ini bermakna, sekotak limau mandarin seberat 4kg akan dijual pada harga borong RM12.00 manakala sekotak limau mandarin seberat 8kg akan dijual pada harga borong RM24.00,” katanya kepada Astro AWANI.

Tey berkata harga limau mandarin tahun ini meningkat kerana permintaan tempatan yang semakin meningkat di negara China dan kos buruh yang lebih tinggi di sana.

"Taraf hidup di China semakin baik dan mereka mampu untuk membeli limau mandarin. Mereka tidak lagi sangat bergantung kepada eksport ," katanya.

Tey berkata sesetengah pelanggan memilih untuk tidak membeli limau mandarin tahun ini disebabkan harga yang tinggi.

"Sesetengah pengimport telah turut mengurangkan bilangan limau mandarin yang mereka import. Ini telah membuat beberapa pelanggan membeli secara pukal kerana mereka takut limau mandarin akan berkurangan, " katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menasihatkan mereka-mereka yang bakal menyambut Tahun Baru Cina , untuk berbuat demikian pada bajet yang terkawal.

"Kita tahu limau mandarin merupakan aspek kebudayaan yang penting untuk Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun , perbelanjaan semasa Tahun Baru Cina perlulah terkawal dan berada dalam bajet masing-masing. Jangan membazir wang,” katanya.

Paul juga berpendapat bahawa perlu ada pasaran terbuka untuk membolehkan mereka yang ingin mengimport limau mandarin untuk berbuat demikian.

"Suruhanjaya Persaingan Malaysia perlu mengkaji semula jika terdapat pasaran untuk membolehkan perkara ini," katanya.

Menurut laporan di sebuah portal berita, harga limau mandarin dari China akan meningkat sebanyak 20 peratus kepada 60 peratus tahun ini ekoran kekurangan buah itu kerana musim kemarau di wilayah Fujian dari Jun hingga Oktober tahun lalu.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment