Tuesday, 28 January 2014

Kontroversi diskriminasi penyanyi berhijab Marinatasha selesai

Shannon Yong (kiri) dan Marinatasha


KUALA LUMPUR: Kesilapan dalam memberi maklumat mengenai penyanyi yang akan membuat persembahan pada satu majlis makan malam tahunan sebuah syarikat pemaju hartanah dilihat sebagai punca tercetusnya kontroversi dakwaan diskriminasi terhadap penyanyi berhijab, Marinatasha Isnariah Mustapar.

Kontroversi diskriminasi terhadap Marinatasha yang diarahkan turun dari pentas kerana berhijab pada satu majlis makan malam 18 Januari lalu bagaimanapun berjaya menemui jalan penyelesaiannya.

Dalam satu pertemuan tertutup kira-kira satu jam antara wakil syarikat pemaju hartanah, CASTMET Sdn Bhd dengan penyanyi tersebut di pejabat CASTMET di Plaza Damas, Sri Hartamas pada Ahad lalu, banyak perkara yang telah dibincangkan dan dibongkarkan bersama dan ianya turut diakhiri dengan sesi bermaaf-maafan dari kedua-dua pihak atas salah faham yang berlaku.

Menurut Marinatasha, maklumat salah yang diberikan oleh Pengurus Acara dari Red On Black, Mohd Solih Toha dan ketua kumpulan ‘Rufus’ Ahmad Nazri Rusly dilihat sebagai pencetus kepada isu ini.

“Kekeliruan itu berlaku ketika syarikat pengurusan acara menjanjikan artis lain walhal ‘Rufus’ yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik bebas ini telah membawa saya sebagai penyanyi mereka,” kata Marinatasha dalam satu kenyataan bertulis bersama dengan syarikat CASTMET Sdn Bhd kepada Astro AWANI.

Menceritakan semula kemelut tersebut, pada 15 Januari lalu, wakil CASTMET, Shannon Yong hadir menyaksikan sesi latihan studio Rufus bersama Marinatasha namun Shannon agak terkejut dengan kemunculan Marinatasha sebagai penyanyi wanita yang bertudung dan merasakan imej tersebut tidak sesuai dengan majlis berkenaan.

“Shannon ada meminta maaf kerana saya bukan penyanyi yang dijanjikan namun pada ketika itu saya merasakan kenyataan itu berbaur diskriminasi kerana penyanyi bertudung tidak boleh membuat persembahan,” katanya lagi.

Shannon telah dimaklumkan oleh Mohd Solih bahawa Marinatasha hanyalah penyanyi pengganti untuk sesi latihan dan raptai sahaja.

Mohd Solih kemudian telah mendapatkan khidmat Zafarina Jamhari atau Farina dari sebuah program realiti Akademi Fantasia 8 (AF8) untuk membuat persembahan beberapa jam sebelum majlis berlangsung.

Sementara itu, Ahmad Nazri tanpa pengetahuan Shannon telah meminta Marinatasha menyanyikan dua buah lagu dengan bayaran penuh sebagaimana yang dijanjikan walaupun Farina telah ada untuk menggantikan tempatnya.

“Semasa majlis makan malam bermula iaitu dan ketika itu, saya telah bersiap-sedia mengambil tempat untuk persembahan barulah Ahmad Nazri memaklumkan kepada Shannon mengenai saya yang akan membuat persembahan namun, Shannon tetap tidak membenarkan saya membuat persembahan,”.

Farina pula ketika persembahannya telah mengundang Marinatasha untuk menyanyikan lagu “Someone Like You” dan “Price Tag” secara bersama sebelum Marinatasha hendak membuat persembahan, Marinatasha meluahkan perasaan kesal bahawa dia adalah penyanyi wanita sebenar tetapi tidak dibenarkan meneruskan persembahan kerana dia berhijab.

Kenyataan tersebut menjadi punca tercetusnya semula perselisihan faham antara Shannon dan Marinatasha selepas persembahan itu akhirnya kedua-dua pihak mengambil keputusan untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Kepong dan Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada Ahad dan Isnin minggu lalu.

Kemelut yang berlaku kini telah dianggap selesai oleh kedua-dua belah pihak diatas salah faham yang terjadi dan ini adalah angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mereka turut mencapai kata sepakat untuk menamatkan isu tersebut dari terus keresahan masyarakat pelbagai kaum.

Sementara itu, Pengarah Urusan CASTMET, Tan Keh Wah pula menyifatkan pertemuan tersebut sebagai luahan dari hati ke hati mengharapkan isu sensitif tidak sekali-kali ditimbulkan lagi.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment