Tuesday, 28 January 2014

Harga tiket RM30 memasuki Zoo Negara dianggap mahal



KUALA LUMPUR:  Kebanyakan rakyat Malaysia merasakan bahawa harga tiket sebanyak RM30 yang dikenakan kepada pengunjung Zoo Negara adalah agak mahal.

Tinjauan pandangan dan undian yang dilakukan oleh laman sesawang Astroawani.com mendapati 73.97 peratus orang tidak bersetuju untuk membelanjakan sebanyak RM30 untuk berkunjung ke Zoo Negara kerana merasakannya tidak berbaloi.

Daripada jumlah tersebut, 18.56 peratus pula bersetuju dengan jumlah RM30 yang dikenakan kepada pengunjung itu manakala 7.46 peratus pula, hanya bersetuju untuk membelanjakan jumlah tersebut seandainya Zoo Negara mempunyai tarikan binatang seperti panda.



Menerusi laman Facebook Astro AWANI pula, ada yang mencadangkan bahawa harga tiket sepatutnya mengikut hari atau kadar kemasukan pengunjung seperti yang dicadangkan oleh Mansor Ibrahim.

“Harga patut mengikut permintaan, murah hari biasa dan mahal hujung minggu dan cuti awam, cuti sekolah, beri 20 peratus diskaun bagi yang datang balik dalam tiga bulan dengan membawa tiket lama. Kurangkan harga 30 peratus bagi yang membeli lebih dari 10 tiket atau kumpulan melalui bas pelancung. Warga emas, OKU 50 peratus diskaun”.

Selain itu, Muhammad Hazeeq pula merasakan harga tiket sebanyak RM30 itu adalah mahal dan membantutkan rancangan keluarga untuk beriadah bersama.

“Zoo tempat yang bagus untuk beriadah bersama keluarga....tapi caj yang mahal mungkin membantutkan rancangan keluarga tatkala harga barangan semakin naik”.

Rosmizan Roselin pula membidas amalan rakyat Malaysia yang terlalu kedekut untuk mengeluarkan duit seperti membuat sumbangan kepada zoo namun masih lagi mahu meminta diberi pengurangan dari segi harga tiket itu.

“Kalau nak murah bagi la sumbangan. Bukan senang nak murah nak jaga haiwan2 tu semua. Cakap memang senang tetapi berapa banyak syarikat korporat yang menaja haiwan-haiwan itu. Nak harapkan Zoo Negara memang tidak mampu. Sedih tengok orang Malaysia semakin kedekut hendak keluar duit tapi tak malu dan tidak segan silu nak minta duit dari orang lain. Takut nanti dari ada sedikit terus tidak ada langsung. Bersyukurlah dan banyakanlah memberi dari meminta-minta. Mudah-mudahan rezeki lebih murah. Kata what u give u get back, karma lah tetapi yang ini kedekut pulak.”

Selain itu, pengguna Twitter pula ada yang bersetuju dengan harga RM30 itu sebagai harga tiket masuk namun dengan syarat, pengurusan Zoo Negara perlu berusaha meningkatkan kemudahan zoo itu supaya bertambah baik.

No comments:

Post a Comment