Monday, 2 December 2013

Anugerah Skrin tidak ikhlas hargai Yasmin Ahmad?

Anugerah Skrin tidak ikhlas hargai Yasmin Ahmad?

Selesai sahaja majlis Anugerah Skrin (ASK) 2013 yang berlangsung Jumaat lalu, saya segera mencari senarai pemenang anugerah. Saya amati satu-persatu. Saya tidak berpuas hati. Saya selidik setiap portal berita dan blog yang memaparkan keputusan penuh.

Saya yakin. Ya! Yakin tiada Anugerah Yasmin Ahmad diberikan pada tahun ini.

Tiga tahun terdahulu, di saat pusara pengarah tersohor filem Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime itu masih merah anugerah tersebut diwujudkan.

Empat pemenang telah pun kita ketahui. Bukan calang-calang penerima yang terpilih untuk menerima anugerah tersebut.

Sekadar menyebut nama-nama seperti Jaclyn Victor, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof dan Pierre Andre, siapa yang mampu membidas pemilihan tersebut. Nama mereka gah dalam bidang masing-masing.

Uniknya mereka tersebut dipilih adalah kerana mereka bakat muda yang relevan dalam industri dan kualiti kerja mereka yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Sebenarnya apabila saya masih memperkatakan tentang ASK ia semacam satu indikasi yang majlis anugerah tersebut masih relevan di mata pemerhati dunia seni tempatan.

Saya lupakan sejenak kecelaruan idea penganjuran majlis anugerah tersebut pada tahun lalu.

Bagi saya ASK masih relevan untuk arena drama apabila saya merasakan anugerah itu masih menjadi kayu pengukur paling penting dalam menilai kehebatan bidang penerbitan drama, program televisyen dan filem tempatan.

Saya mengenali drama-drama hebat era 90an menerusi rangkaian anugerah yang pernah dianjurkan. Drama seperti Anak Angkat, Ratu Jamu, Surah Terakhir, Tarantula, Suara Saleha, sekadar menyebut beberapa nama cukup gah pada zaman itu.

Mari kita lupakan seketika perihal majlis Anugerah Sri Angkasa (ASA) yang kewujudannya seperti “hidup segan, mati tak mahu” dengan masalah penggiliran penganjuran yang tidak pernah berjaya diselesaikan.

Begitu juga seni sinema, bila mana keputusan kategori filem di anugerah tersebut seakan menjadi pembanding dengan keputusan Festival Filem Malaysia (FFM).

Saya masih ingat bagaimana pembuat keputusan Anugerah Skrin mengiktiraf karya-karya besar filem seperti Merah dan Wayang sebagai Filem Terbaik, sedangkan kehebatan filem itu tidak dipandang di FFM.

Saban tahun saya akan membandingkan keputusan yang dibuat panel juri kedua-dua majlis anugerah tersebut.

Saya enggan berbicara soal kategori lain yang kita telah ketahui pemenangnya. Suka atau tidak suka, kita telah ada pemenang. Yang mahu saya persoalkan adalah keikhlasan penganjur dalam mewujudkan trofi Anugerah Yasmin Ahmad.

Malangnya sekali apabila pada tahun ini penganjur seakan melupakan Anugerah Yasmin Ahmad yang mana merupakan kategori khas bagi mengiktiraf bakat muda yang penting dalam mengatur jalan kebenaran industri hiburan tempatan.

Ada beberapa kemungkinan yang menjadi penyebab ketiadaan trofi rebutan bakat baru itu.

Pertama, penganjur mungkin akan menggunakan alasan tiadanya bakat baru yang wajar menerima pengiktirafan tersebut.

Kedua, penganjur mungkin sudah merasakan tiada relevannya nama trofi tersebut. Apakah keperluannya nama pengarah filem tersohor itu dikekalkan.

Saya sama sekali menyanggah jawapan pertama sekiranya ketiadaan bakat baru dijadikan alasan.

Sebenarnya ramai muka baru yang wajar diberikan pengiktirafan. Amerul Affendi contohnya.

Bakat Amerul bukan sahaja terbatas di layar perak atau pun skrin drama, malah melangkaui ke pentas teater. Masih lagi relevan pada tahun ini apabila lakonan cemerlangnya dalam Hari Hari Terakhir Seorang Seniman mendapat perhatian juri untuk dinilai dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama).

Tahun lalu, filem Bunohan lakonannya menerima anugerah Filem Terbaik. Malah, bakatnya di pentas teater seperti Air Con dan Short Eyes tiada tandingan.

Saya juga suka untuk menyebut nama Iedil Putra. Kenapa saya merasakan Iedil layak untuk anugerah tersebut?

Nasibnya mungkin tidak sebaik Amerul apabila filem-filem yang dibintanginya tidak padan dengan bakatnya. Namun Iedil boleh berbangga apabila program televisyen kendaliannya Jetlag turut berjaya menerima pencalonan dalam kategori Rancangan Realiti Terbaik.

Seperti Amerul, Iedil juga hebat di pentas teater, apabila teater Parah bukan sahaja hebat di Malaysia malah telah terbang ke Brisbane bagi mewakili negara di World Theater Festival. Bahkan, Iedil turut membintangi teater Projek Disko Baldi yang kemudiannya diadaptasi ke program televisyen Disko Baldi Show untuk siaran 8TV.

Satu lagi nama yang mungkin kita terlupa ialah Redza Minhat.

Calon akhir Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) menerusi watak Akil dalam filem KIL ini tidak wajar dilupakan. Apabila dipelawa untuk membintangi filem tersebut, bayaran bukan persoalan utama, sebaliknya sokongan kepada sahabat yang menjadi keutamaan. Namun, kualiti yang terhasil dalam segala aspek filem tersebut meyakinkan panel juri untuk memilih filem tersebut sebagai Filem Terbaik.

Seperti Amerul dan Iedil, Redza juga gah di pentas teater seperti Nadirah dan Projek Disko Baldi.

Paling tidak pun, ensemble Projek Disko Baldi (PDB) wajar menerima pengiktirafan tersebut. Mereka inilah penggegar industri masa depan. Setiap seorang daripada mereka punya impian dan impian mereka bukan kosong. Mereka ada filem berkualiti yang menanti tayangan (Bikin Filem), mereka hasilkan pementasan PDB yang telah diadaptasi ke program televisyen dan mereka pelakon yang bervisi.

Jadi, siapa yang kata kita ketandusan bakat baru yang wajar untuk diberikan trofi keramat tersebut, mereka salah.

Saya percaya pengiktirafan pemenang terdahulu bukannya dinilai berdasarkan pencapaian mereka pada tahun anugerah. Adakah Pierre Andre dinilai berdasarkan filem Chantek? Tentu sekali tidak bukan? Saya cukup yakin bakat Pierre dinilai berdasarkan faktor-faktor lain antaranya pecah panggung filem Jangan Pandang Belakang dan sebagainya.

Satu lagi nama yang mungkin kita terlepas pandang ialah anak emas Yasmin Ahmad sendiri, Sharifah Amani. Kenapa saya katakan pelakon filem Muallaf itu layak untuk anugerah tersebut.

Pemenang trofi pelakon wanita terbaik itu telah pun berjinak-jinak dalam dunia pengarahan. Walaupun sekadar mengarah dua buah filem pendek, Sangkar dan Hawa, ia sesuatu yang cukup besar apabila dilakukan tanpa kelibat idolanya yang digelar Mak.

Usaha-usaha murni dalam mengangkat mutu drama, filem dan program televisyen sebeginilah yang perlu diberikan galakan dan pengiktirafan walaupun hanya dengan sebuah trofi, Anugerah Yasmin Ahmad.

Mereka adalah contoh artis yang bukan “retis”. Mereka ialah penggiat berminda bernas dan tidak pernah berputus asa untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti tanpa menghiraukan makna populariti.

Tidak kisah jika nama mereka tidak disebut pengacara Melodi mahupun Propaganza atau wajah mereka terpampang di kulit depan majalah URTV mahupun Mangga, asalkan kualiti kerja mereka terus dijaga.

Oleh itu, alasan yang mengatakan tiadanya bakat baru tidak boleh diguna pakai langsung.

Kedua, apakah benar ketiadaan trofi tersebut berkait dengan persoalan apakah nama pengarah tersohor itu sendiri masih relevan untuk dikaitkan dengan ASK?

Yang kita sedar, nama Yasmin Ahmad mula disebut-sebut hanya setelah ketiadaannya. Maka adakah setelah ketiadaan sahabat baiknya, Dato’ Seri Farid Ridzuan dalam mengemudi syarikat konglomerat penganjur ASK, maka anugerah tersebut wajar ditiadakan?

Jadi saya tinggalkan anda dengan satu persoalan, dimanakah keikhlasan ASK dalam menghargai jasa yang pernah dicurahkan oleh pengarah tersohor itu?


Oleh: Muzaffar Mustapha @Astro Awani

No comments:

Post a Comment