Friday, 29 November 2013

Shila Amzah kecewa lagi?

Shila Amzah dan Johan As'ari
Shila Amzah dan Johan As'ari


Shila Amzah kecewa lagi?

"Ku semai kasih di halaman kontang, jemu aku membaja tunasnya layu jua...." Lirik lagu kumpulan Scan ini, mungkin lebih dekat untuk membayangkan perasaan penyanyi cantik, Shila Amzah.

Mana tidaknya, hubungan teman mesra yang mendapat restu ibu bapa ini akhirnya kecundang di tengah jalan apabila pelakon, Johan Asaari, memilih pelakon seksi, Lana Nordin sebagai permaisuri hidupnya.

Walaupun Shila dan Johan tidak pernah mengaku sedang melalui fasa-fasa bahagia, namun mereka dilihat mesra dan sering tampil bersama dalam majlis-majlis hiburan.

Malah, baru-baru ini, Shila dan Johan turut bersama-sama menghadiri majlis perkahwinan pelakon kacak, Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim.

Entah di mana silapnya, ini merupakan kekecewaan kedua Shila apabila hubungan cintanya bersama pelakon, Sharnaaz Ahmad, berakhir kerana gagal mendapat restu orang tua.

Keputusan Johan nyata memberi tamparan hebat kepada Shila, malah menerusi akaun mikro, Twitter, Shila turut menulis beberapa bait yang menggambarkan perasaannya.

Antaranya, Shila turut menulis, "Pilih.. Jaga hati.. dan fikiran.. Pilih yang terbaik.. Jangan biar diri kecundang dek perasaan.. Biar terus mara ke depan ikut kewarasan..".

Usaha Zass untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelantun lagu, Masih Aku Cinta ini, tidak berhasil apabila talian telefon tidak aktif.

Pun begitu, Shila sangat terbuka berkongsi perasaannya bersama pengikut di Twitter dan Instagram dan memberitahu dia menerima segala ketentuan takdir buatnya.

"Tak apa, jodoh ALLAH yang tentukan, Sha terima siapa pun jodoh Sha. Doakan yang terbaik lagipun ALLAH tahu dan ada hikmah semuanya,” katanya yang menjawab respons peminat.

Selain itu, Shila juga turut berjanji, tidak akan mengulangi perbuatan yang mengaibkan dirinya dan keluarga seperti sebelum ini.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment