Friday, 29 November 2013

Bantah atau tidak, gaji tetap naik

Abdul Khalid Ibrahim
Berdasarkan tanda aras dan pencapaian 2008-2013 Khalid mahu mandat Pakatan Rakyat Selangor dikekalkan. - Foto Sinar Harian oleh Foto AZMI ARYANTO


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kenaikan gaji seperti yang dibentangkannya semalam  akan diteruskan sekali gus mencadangkan, sesiapa yang tidak bersetuju supaya "mendermakan" lebihan gaji tersebut.

Menurutnya, kata sepakat telah dicapai oleh kedua-dua Adun PR dan BN berhubung kenaikan gaji itu.

"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan.

"Adun PR dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," katanya dipetik sebuah portal hari ini apabila diajukan sama ada pertimbangan akan dibuat ekoran bantahan yang diterima.

Abdul khalid semalam membentangkan di dalam Dewan berhubung kenaikan gaji itu dan dipersetujui sebulat suara oleh semua Adun ketika Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2013 dibacakan.

Abdul Khalid berkata, usul itu dibawa untuk membolehkan peruntukan dipinda dan pembayaran gaji baru dapat dibuat mulai 1 Januari.

“Cadangan kenaikan itu dibuat berdasarkan beban tugas yang dipikul ahli dewan tanpa mengira waktu serta keberkesanan pembaharuan dilaksanakan menentukan badan eksekutif dan legislatif.

“Di atas keberkesanan melaksanakan tanggungjawab iaitu menunjukkan hasil dan pendapatan negeri meningkat, pertimbangan sewajar diambil atas permintaan Adun sekalian,” katanya.

Susulan itu, kenaikan gaji tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada Umno-BN, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi.

Terbaru, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor,  Mohamed Azmin Ali turut  menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan Adun negeri ini agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment