Friday, 29 November 2013

Pelakon Azad Jasmin terima 13 jahitan di kaki

Azad Jasmin
Azad Jasmin


GARA-gara sekotak rokok, pelakon Azad Jasmin terpaksa menahan sakit dan menerima 13 jahitan di bahagian kaki setelah terjatuh ke dalam longkang.

Jelas Azad, kejadian tersebut berlaku di depan sebuah kedai serba guna di Puchong selepas dia membeli sekotak rokok, minggu lalu.

"Saya pun tak tahu macam mana perkara ini boleh jadi, sebab masa saya berjalan ke kereta selepas beli rokok, saya terjatuh dalam longkang.

"Nasib baik kejadian tersebut disedari sekumpulan orang awam, dan mereka terus datang membantu saya. Kebetulan ada klinik sebelah kedai tersebut dan mereka bawa saya ke situ," jelasnya sambil ketawa kerana terkenang kembali insiden tersebut.

Azad berkata, lebih malang lagi, ketika menerima rawatan, dia dimarahi pula oleh doktor di klinik terbabit.

"Dia tanya saya macam mana boleh jatuh dan bila dia tahu saya jatuh kerana beli rokok, dia terus marah saya.

"Malah dia turut jelaskan saya bahaya rokok dan ketika diberi jahitan, dia tidak bius saya. Tetapi bila dengar dia bercerita, saya terus lupa kesakitan dijahit itu," katanya.

SH : Bergaul dengan kaum India

Sementara itu, bercerita mengenai wataknya dalam filem Kolumpo, Azad berkata dia membawakan watak utama sebagai Rahul, pemuda dari Mumbai, India yang datang ke Malaysia kerana ditawarkan bekerja sebagai pereka grafik.

Ujar Azad, demi menghidupkan watak tersebut, dia secara sukarela tinggal dan bergaul dengan orang India selama sebulan.

“Ini kali pertama saya memegang watak utama dan memerlukan saya bertutur dalam bahasa Tamil. Selama sebulan saya tinggal dengan orang India, di Sungai Penchala.

"Ada di kalangan mereka memang berasal dari negara India. Sepanjang tempoh itu saya belajar cara bercakap, cara makan, pergerakan badan”, katanya.

Kolumpo diarahkan oleh Sheikh Munasar, Bront Palarae dan Rozi Izma. Filem yang bakal ditayangkan mulai 5 Disember ini, memaparkan tiga cerita berbeza dengan berlatar belakangkan kehidupan di Kuala Lumpur.

Selain Azad, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Amani, Ruminah Sidek, Nell Ng, Mano Maniam, Soffi Jikan, Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Along Eyzandy, Radhi Khalid dan Emely Poon.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment