Telefilem Sanggul Beracun, arahan Sabri Yunus, menerima pencalonan untuk Sichuan TV Festival Gold Panda Awards 2013 bagi kategori Fotografi Terbaik, yang bakal berlangsung di Chengdu, Sichuan, China pada 16 - 18 November ini.
Telefilem berdurasi 90 minit ini, yang telah dipertontonkan di saluran Astro Citra buat pertama kali pada 15 Mei 2011, memaparkan kisah Siti (Erra Fazira), yang membuat perjanjian dengan roh jahat untuk kelihatan cantik. Bagi memenuhi perjanjian itu, dia perlu berkahwin dan mencari mangsa dalam masa tiga bulan. Jika dia gagal, dia akan kembali hodoh.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, pencalonan Sanggul Beracun dalam sebuah acara anugerah bertaraf antarabangsa itu adalah sesuatu yang amat membanggakan.
"Pastinya, pengiktirafan ini menjadi perangsang untuk Astro menghasilkan lebih banyak lagi drama dan telefilem yang berkualiti pada masa akan datang untuk bersaing dengan produksi-produksi antarabangsa sekali gus membuka lebih banyak ruang bagi karya-karya tanah air untuk menembusi pasaran luar, "ujar Khairul.
Sempena pencalonan itu, Sanggul Beracun turut dialih bahasa Inggeris dengan judul, Poisonous Coiffure.
No comments:
Post a Comment