Wednesday, 13 November 2013

Motorsikal berkuasa tinggi tidak dikenakan kutipan tol

Motorsikal berkuasa tinggi sememangnya tidak akan dikenakan kutipan tol

KUALA LUMPUR:  Motorsikal berkuasa tinggi tidak dikenakan kutipan tol kerana ia termasuk dibawah kategori kenderaan dua gandar atau dua roda (motorsikal) yang dikecualikan dari kutipan tol.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata ini sudah termaktub dalam hampir semua perjanjian konsesi lebuh raya kecuali di Lebuhraya Link Kedua Malaysia-Singapura (Plaza Tol Tanjung Kupang) dan Jambatan Pulau Pinang dimana motorsikal turut dikenakan tol.

“Penetapan tol untuk kelas atau jenis kenderaan ini ialah berasaskan kepada Akta Jalan-Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 dan keputusan ini ditetapkan adalah berdasarkan akta dan perundangan,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pagi tadi.

Beliau menambah, jika kerajaan mahu mewujudkan kutipan tol kepada motorsikal, mereka perlu mewujudkan lorong-lorong kutipan tol untuk motorsikal.

“Jika ada wujudnya lorong motorsikal ini tentulah ia akan melibatkan kos pentadbiran kerana kebanyakkan lebuhraya-lebuhraya utama dinegara ini telah pun lama dibina dan tidak mengambil kira jumlah motorsikal di lebuhraya. Oleh itu, telah ditetapkan apa jua motorsikal sememangnya tiada dikenakan bayaran tol,” katanya lagi.

Maka, jika ingin juga dilaksanakan ianya akan mengakibatkan penggunaan belanja yang agak besar.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang meminta sebab-sebab mengapa motorsikal berkuasa tinggi tidak perlu membayar tol walaupun kenderaan ini mempunyai CC yang besar dan ada yang setaraf dengan sebuah kereta.


Astro Awani

No comments:

Post a Comment