Muhammad Taufik melahirkan hasrat mahu menjadi ikan.
PASIR GUDANG - Salah seorang daripada dua mangsa yang dipercayai lemas di perairan Tanjung Langsat, di sini, telah ditemui enam batu nautika dari lokasi kejadian.
Mayat seorang lelaki ditemui di perairan Singapura disahkan sebagai Abdul Talib Hadhari, 42, berdasarkan kad pengenalan dan lesen memandu yang ditemui pada mangsa.
Mayat Abdul Talib ditemui pada hari ketiga selepas dia dan anak bongsunya, Muhammad Taufik, 8, hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyelamatkan anaknya itu selepas tergelincir di sebuah rumah rakit berhampiran Jeti Kampung Tanjung Langsat, di sini, Sabtu lalu.
Isteri mangsa, Abidah Atan@Atin, 43, mengakui redha dengan pemergian suaminya selepas dimaklumkan berita tersebut.
“Selepas suami dan Taufik dilaporkan hilang saya redha dengan sebarang ketentuan, namun jika roh mereka telah diambil ALLAH SWT, saya harap biarlah jenazah mereka ‘dipulangkan’ kepada kami sekeluarga untuk disempurnakan.
“Walaupun suami disahkan telah tiada, kami bersyukur kerana mayatnya berjaya ditemui. Saya berdoa semoga Taufik juga akan ditemui sama ada dia terselamat atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Suami pesan lebih berdikari
Abidah mengakui tidak akan melupakan pesanan suaminya beberapa hari sebelum kejadian supaya dia lebih berdikari.
Menurutnya, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik, cuma berpesan supaya dia tidak mengharapkan apa-apa daripadanya lagi.
“Tetapi, apabila saya bertanya mengapa berkata begitu sedangkan hanya dia dan anak yang saya di dunia ini, namun arwah hanya diam.
“Ketika itu, saya tidak mahu berfikir yang bukan-bukan dan menganggap ia hanyalah gurauan. Namun, sebelum tragedi yang menimpa arwah suami dan Taufik, saya kerap berasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Sepanjang tiga hari menanti selepas menerima berita kehilangan suami dan anaknya itu, Abidah setia menunggu di jeti berkenaan dan tidak putus asa memanjatkan doa supaya Abdul Talib dan Taufik ditemui segera termasuk mengadakan solat Hajat.
Taufik mahu jadi ikan
Abidah memaklumkan, dia tidak akan membenarkan suaminya keluar memancing sekiranya mengetahui Taufik dan kakaknya, Nurul Umairah, 11, turut dibawa bersama.
Menurutnya, Taufik sangat aktif malah jika dibawa ke mana-mana dia tidak akan duduk diam.
“Jika saya diberitahu lebih awal mereka akan memancing di rumah rakit itu, sudah tentu saya tidak akan bersetuju kerana saya lebih maklum keletahnya.
“Namun, saya terima apa yang terjadi kepada mereka. Suami memang gemar memancing, tapi ini kali pertama dia membawa anak kami bersama,” katanya.
Abidah yang kelihatan sebak, turut memaklumkan seminggu sebelum kejadian, Taufik menyatakan hasrat mahu menjadi ikan apabila sudah besar kelak.
“Namun, saya hanya menganggap ia hanya imaginasi seorang kanak- kanak,” katanya.
Jaga diri dan maruah
Sementara itu, anak sulung Abdul Talib, Nurul Huda, 18, memaklumkan ayahnya kerap menghubungi dan mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya dan kali terakhir dua hari sebelum kejadian.
Menurutnya, ayahnya berpesan supaya dia menjaga diri dan maruah, malah dia juga sering memaklumkan begitu menyayanginya dan adik-adik.
“Saya sempat memohon maaf daripada ayah kerana tidak dapat menjaganya. Namun ayah ada menyatakan akan menjaga saya dari jauh,” katanya.
Usaha mencari sukar
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, mayat Abdul Talib ditemui kira-kira jam 11.25 pagi oleh pengawal pantai di perairan Singapura, dan telah dihantar di sebuah hospital di Jalan Out Ram Road, Singapura.
Menurutnya, berdasarkan kad pengenalan dan lesen memandu yang ditemui pada mayat, ia sepadan dengan identiti mangsa yang dilaporkan hilang di Jeti Tanjung Langsat.
“Isteri mangsa akan dibawa ke hospital tersebut esok (hari ini) untuk tujuan pengecaman,” katanya.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Yaacob Mariman berkata, operasi menyelamat mangsa yang masih hilang masih diteruskan.
Beliau juga memaklumkan, faktor muara sungai Johor yang agak luas menyukarkan usaha mencari mangsa selain mengakui masih belum menemui sebarang petunjuk.
“Operasi hari ini (semalam) akan tamat pada jam 7 petang, namun anggota penyelamat akan terus berada di sini selama 24 jam,” katanya.
Sumber:Sinar Harian
No comments:
Post a Comment