Keadaan motosikal mangsa yang terbakar akibat kebocoran tangki.
BATU KURAU – Gara-gara malu, seorang lelaki warga Myanmar melarikan diri setelah motosikal ditungganginya terbakar berhampiran Kampung Batu 20, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, lelaki berusia 20-an itu dikatakan cuba memadam kebakaran tersebut menggunakan kain, namun tidak berjaya sebelum lari ke semak berhampiran sebaik sahaja orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.
Saksi kejadian, Abdul Mutalib, 41, berkata, dia yang kebetulan melalui kawasan itu sempat melihat kelibat seorang lelaki berlari dengan kesan cedera di muka dan tangan.
Menurutnya, tindakan lelaki itu kemungkinan kerana dia berasa malu, setelah kain dipakainya terbakar.
“Waktu itu juga saya ternampak sebuah motosikal jenis Modenas Kriss terbakar, saya sendiri tak tahu punca dia lari, mungkin malu sebab beberapa penduduk sudah berkumpul di kawasan itu,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, lelaki itu pada mulanya hilang kawalan setelah melanggar satu lubang sebelum terjatuh.
Keadaan itu dipercayai mengakibatkan berlaku kebocoran pada tangki motosikal berkenaan dan cubaan lelaki itu menghidupkan enjin menyebabkan kenderaannya meletup lalu terbakar.
Api kemudiannya berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung.
Motosikal terbabit dituntut majikan lelaki berkenaan dan dia turut mengesahkan lelaki warga asing itu yang mempunyai permit kerja sah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment