Sunday, 24 November 2013

Kisah lucu villa berhantu

*KISAH Villa Nabila telah menghebohkan ‘1Malaya’ minggu lalu. Banglo berhampiran Danga Bay di Johor Bharu itu yang telah ditinggalkan sejak sekian lama, dikatakan antara 10 lokasi paling berhantu di negara ini.

Tidak pula diketahui siapa gerangan yang pandai-pandai – macam tidak ada kerja lain! – mencipta carta hantu dan meletakkan banglo dua tingkat itu pada kedudukan 10 teratas.

Sejak dulu orang kita memang percaya sangat pada hantu. Sebab itu apabila kisah vila ini tersebar di laman sosial, orang berebut-rebut berkunjung ke lokasi berkenaan, kenderaan berbaris panjang.

Akhirnya pihak polis terpaksa menutup kawasan tersebut bagi mengelakkan orang berkunjung ke tempat itu, untuk melihat hantu. Anehnya walaupun beratus orang berkunjung, tidak seorang pun berjaya melihat hantu.

Kalau betul ada hantu di vila berkenaan pasti hantu-hantu ketawa sambil menjelirkan lidah melihat kelakuan manusia di era ICT yang serba canggih. Zaman tercanggih tetapi fikiran terkebelakang.

*PERIHAL puaka Villa Nabila mula dicetuskan di alam maya apabila seorang remaja, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, 16, dikatakan disembunyikan hantu ketika berkunjung ke banglo kosong berkenaan.

Pada mulanya dikatakan lebih kurang 30 remaja hilang setelah berkunjung ke banglo berkenaan. Tetapi polis kemudian menyifatkan itu hanya khabar angin, sebab yang dilaporkan hilang hanya Mohamad Izzat.

Ibu remaja tersebut, Norhayati Mohamad, 39, yang bimbang anaknya tidak pulang setelah beberapa hari disembunyikan hantu, membuat laporan polis. Unit anjing polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikerahkan untuk mencari.

Kawasan seluas padang bola itu diselongkar, tetapi remaja yang hilang tidak ditemui. Ketika gerakan mencari ditingkatkan dan si ibu dalam keadaan bimbang bukan kepalang, tiba-tiba Mohamad Izzat muncul menamatkan misteri.

Remaja tersebut selamba sahaja memberitahu dia tidak disembunyi oleh mana-mana makhluk, sebaliknya tidur di rumah teman wanitanya di rumah pangsa Taman Desa Mutiara, tidak jauh dari vila berkenaan.

Sekali lagi hantu-hantu di banglo besar itu ketawa terbahak-bahak melihat gelagat dan lakonan manusia!

*MAKA teringat saya tentang kisah serupa yang terjadi di Terengganu beberapa tahun dulu mengenai seorang gadis yang dikatakan misteri, kalau tidak silap namanya Balqis.

Heboh seluruh negara bahawa gadis ini selalu menghilangkan diri dibawa oleh makhluk halus untuk melihat pelbagai keanehan di alam ghaib. Kadang-kadang hilang dua tiga jam, ada ketikanya separuh hari, pernah juga hilang semalaman.

Ketika hilang dia telah dibawa ke beberapa tempat aneh, termasuk ke Gunung Jerai yang terletak beratus kilometer dari rumahnya. Bayangkan boleh tempat begitu jauh dalam beberapa saat. Hebat!

Ramai bomoh dan ustaz dipanggil untuk merawat gadis berkenaan yang selalu hilang – ada ketikanya beberapa hari – dilarikan hantu. Orang ramai, termasuk dukun, bomoh, ustaz, malah wakil rakyat percaya Balqis memang dilarikan hantu.

Kemudian pecah tembelang, dan misteri kehilangan terbongkar, apabila setelah beberapa hari hilang, gadis tersebut ditemui di sebuah kampung di Negeri Sembilan. Rupanya dia mengikut teman lelakinya.

Kerap kali hantu dan makhluk halus menjadi mangsa fitnah. Setiap kali ada remaja hilang, hantu dituduh sebagai tukang sembunyi. Kesian hantu!

*AKHIR kalam, jangan suka menyalahkan hantu. Berfikirlah dengan waras, dan terima fakta. Seperti yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 5,445 kanak-kanak hilang seluruh negara dalam tiga tahun ini.

Lebih 70 peratus daripada yang hilang itu adalah kanak-kanak perempuan, kebanyakan masih di bawah usia 18. Fakta polis mengesahkan anak gadis yang melarikan diri dari rumah itu bukan dilarikan hantu, tetapi mengikut kekasih untuk mencari kebebasan di luar.

Menurut Ketua Unit Seksual, Bahagian Jenayah Seksual dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Deputi Superintenden Zaiton Che Lah, PDRM mengesan ada kegiatan pihak yang tidak bertanggungjawab melatih lelaki untuk memikat gadis-gadis di bawah umur iaitu berusia bawah 18 tahun untuk dijadikan kekasih.

Pendek kata jangan percaya sangat pada hantu. Jangan salahkan hantu, salahkan diri sendiri.

Oleh: Tok Perak @Sinar Harian

No comments:

Post a Comment