Ab Wahab (kiri) ketika menziarahi Ruziah di HSNI.
“Dalam usaha memecahkan pintu, saya terdengar suami terbatuk beberapa kali, disusuli dengan suaranya yang mengerang kesakitan.
“Disebabkan pintu terkunci dari dalam, kerja menyelamat sukar dilakukan dan akhirnya saya hanya mampu melihat rumah kami terus terbakar bersama suami,” kata Ruziah Mohd, semalam
Kejadian kebakaran berkenaan berlaku kira-kira jam 2.45 petang itu, melibatkan dua rumah berkembar termasuk yang didiami Ruziah bersama suami, Abdul Karim Mohd, 54, serta enam anaknya.
Menurut Ruziah yang tinggal di Kampung Parit Penghulu, Koris, Senggarang itu, ketika kejadian dia berada di rumah ibunya yang terletak kira-kira 50 meter daripada kediaman mereka.
“Saya langsung tidak menyedari kejadian sehinggalah jiran menjerit memaklumkan rumah terbakar. Saya berlari pulang dan cuba untuk masuk ke dalam namun tidak berjaya kerana pintu kediaman berkunci selain api marak.
“Saya serta jiran berusaha membuka pintu namun gagal kerana api semakin marak. Kami akhirnya terpaksa menunggu bomba dan penyelamat tiba untuk membantu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
Menurut Ruziah, sepanjang bomba dan penyelamat memadamkan api, dia hanya mampu berdoa supaya suaminya yang menghidap penyakit buah pinggang selamat.
“Walaupun sedih, saya sekeluarga reda dengan kejadian dan sebagai ibu, saya perlu kuat dengan dugaan ini untuk memberi semangat kepada anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rengit Pegawai Bomba Kanan 1 Mohammad Andimori mengesahkan kejadian dan akan menjalankan siasatan berkaitan punca kejadian serta jumlah kerugian.
“Kami menemui mayat seorang lelaki di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Wahab Ridwan menyerahkan sumbangan kecemasan RM300 kepada Ruziah di HSNI.
“Beberapa bantuan lain akan diberi kepada Ruziah sekeluarga dalam masa terdekat,” katanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment