Bekas penghuni rumah anak yatim berkenaan menunjukkan bagaimana mereka melakukan ‘pencak tarik power’ mengikut ajaran pemimpin pertubuhan itu.
PUCHONG – “Anak yatim tidak dibenarkan sama sekali membancuh milo yang penderma sumbang, kalau hendak minum kena beli di kafe kepunyaan rumah kebajikan itu,”demikian dakwa Nur, bekas sukarelawan sebuah rumah kebajikan yang berselindung disebalik nama pertubuhan anak yatim di sini.
Katanya, anak yatim ditempatkan di rumah berkenaan boleh diibaratkan seperti pengemis kerana meskipun sumbangan, diberi orang ramai melimpah ruah namun ia tidak dapat dinikmati mereka.
Lebih mengejutkan sumbangan wang tunai mencecah ribuan ringgit yang disumbangkan individu atau syarikat korporat, lenyap begitu sahaja dipercayai disalurkan kepada sebuah tabung lain dengan tujuan perniagaan.
Nur yang membongkarkan perkara terbabit berkata, segala-galanya bermula apabila dia mula menjadi sukarelawan di rumah kebajikan berkenaan pada 2007.
Pada awalnya kata Nur, dia tidak dapat menghidu penyelewengan itu sehinggalah anak-anak yatim berkenaan mendakwa mereka dipinggirkan.
Wang sumbangan termasuk duit raya yang didermakan orang ramai kepada penghuni rumah akan ‘diambil’ pengurusan dan anak-anak tidak diberi wang walau sesen pun dengan alasan mereka sudah menghuni rumah itu secara percuma.
Lebih menyedihkan anak-anak kecil yang melakukan persembahan di luar dari jam 7.30 pagi hingga kadang kala jam 10 malam dan diberi bayaran antara RM300 hingga RM400 oleh pihak tertentu juga tidak pernah dapat merasa wang itu.
"Apabila anak-anak berkenaan bertanyakan bahagian mereka, pihak pengurusan akan mengatakan wang berkenaan perlu disumbang ke dalam sebuah tabung.
"Pihak itu akan beritahu, duit disimpan dalam tabung adalah sebagai saham untuk pejuangan Islam," katanya.
Kepada anak-anak kecil pula kata Nur, pihak pengurusan akan memberitahu lebih banyak wang disimpan dalam tabung itu, lebih besar peluang mereka menunaikan haji dalam mimpi bersama seorang pemimpin pertubuhan itu yang sudah meninggal dunia.
"Bagi penghuni dewasa, pengurusan sering mengungkit isu mereka diberi peluang tinggal di situ secara percuma," ujarnya.
Nur berkata, dia pernah memegang duit mencecah RM1,000 hasil sumbangan orang ramai namun wang itu kemudian dijadikan modal untuk pertubuhan berkenaan membuka sebuah butik.
"Wang itu sepatutnya diagihkan untuk keperluan anak-anak, sayangnya mereka tergamak menggunakannya untuk tujuan lain dan tidak menggantikannya semula,"katanya.
Apabila ditanya mana wang itu, pihak pengurusan akan mendakwa mereka sudah bayar kepada anak-anak yatim sedangkan ia tidak berlaku.
Sekiranya didesak dan perkara itu dipertikaikan, pihak pengurusan sekali lagi minta supaya penghuni tidak berkira.
Kata Nur, pertubuhan kebajikan itu menerima pelbagai sumbangan setiap hari untuk keperluan penghuni, namun barang makanan diperoleh akan dijadikan modal perniagaan untuk kafe yang dibuka pihak pengurusan.
“Sakit hati apabila melihat mereka bertindak sedemikian, makanan sumbangan orang ramai, mereka jadikan barang jualan, kalau penghuni hendak minum kena bayar, siapa tiada duit kena hutang, bila dapat duit sumbangan kena bayar balik,”katanya.
Bukan sahaja makanan, pakaian hasil sumbangan orang ramai juga perlu dibayar penghuni kepada pihak pengurusan menggunakan wang bantuan diterima.
Paling dikesali Nur, barang makanan sumbangan orang ramai juga kadang kala dikumpul dan dihantar untuk kegunaan perniagaan restoran yang dijalankan pertubuhan itu di luar negara sedangkan penghuni sendiri langsung tidak diberi peluang menikmatinya.
Pernah menurut Nur, penyumbang menghantar ikan segar ke rumah pertubuhan berkenaan, namun tidak lama selepas itu akan datang sebuah van dan membawa semua bekalan lauk pergi.
"Anak-anak hanya dihidangkan sardin dan ikan masin sahaja sedangkan ada pelbagai jenis hidangan lazat dihantar mereka yang bersimpati dengan nasib anak yatim. Hanya ikan murah, sudah pecah perut dan kurang segar ditinggalkan untuk dimakan anak-anak yatim," katanya.
"Bila pihak atau syarikat luar buat program di situ sahaja anak-anak yatim boleh makan sedap," ujarnya lagi.
Jelas Nur, hakikatnya pertubuhan itu dianggap paling kaya dengan limpahan sumbangan pihak-pihak yang bermurah hati.
Setiap kali menjelang perayaan, pelbagai pihak akan datang memberi bantuan dan menjemput anak-anak membeli keperluan raya di luar.
Namun katanya, anak-anak yatim sebenar hanya meminjamkan tubuh badan mereka sahaja untuk pengukuran saiz sedangkan pakaian itu tidak sampai ke tangan mereka.
Sekiranya, dijemput membeli pakaian raya lebih 10 kali pun, sehelai baju pun anak-anak yatim tidak dibenarkan ambil.
"Pada malam raya apabila penghuni pulang ke rumah saudara-mara atau ibu yang masih ada, anak-anak jemaah sebuah pertubuhan akan datang ambil pakaian milik anak yatim itu," katanya.
Bagi anak-anak yatim peringkat sekolah menengah, mereka akan dapat peluang mengikut agensi atau syarikat penyumbang membeli pakaian raya tetapi sekali sahaja.
Yang lainnya akan diberi giliran kepada anak-anak jemaah sedangkan mereka mempunyai ibu dan bapa.
"Puluhan tong biskut raya yang diterima pusat kebajikan itu juga tidak diberi kepada anak-anak yatim untuk dibawa pulang ke rumah mereka," katanya.
Menyentuh hal beriadah di luar, Nur berkata pihak pengurusan pertubuhan kebajikan itu akan buat surat minta tajaan pihak luar.
Meskipun tajaan sudah diperoleh, anak-anak yatim tetap kena bayar menggunakan duit yang ada pada mereka termasuk bantuan kewangan diberikan oleh sekolah.
Orang luar ada juga yang mengambil anak-anak yatim sebagai anak angkat, mereka perlu masukkan duit ke dalam tabung pengurusan bukan terus ke dalam akaun bank anak-anak sendiri.
Duit bulanan sebanyak RM300 juga tidak sampai kepada anak-anak menyebabkan baju sekolah tidak dibeli baru dan mereka dalam keadaan selekeh ke sekolah.
Bila ditanya ke mana duit anakanak yatim pemberian ibu bapa angkat mereka, pihak pengurusan kata tidak perlu bazir keluar duit beli baju sekolah anak-anak kerana boleh minta sumbangan daripada orang lain pula.
Apabila sudah dicarikan tajaan untuk keperluan anak-anak, duit itu diambil dan dibuat perkara lain.
Pernah satu ketika, Nur berkata, dia dimarahi kerana menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk mendaftarkan anak-anak tidak bersekolah ke tadika.
“Pihak pengurusan kata tidak boleh gunakan wang sumbangan hantar anak-anak ke sekolah sedangkan pada saya itu memang hak anak-anak tetapi saya dimarahi dan mereka katakan biar orang ramai lain bayarkan, jangan bayar nanti rugi," katanya.
Guna anak yatim raih simpati
Anak yatim diletakkan di hampir 100 pertubuhan kebajikan rumah amal di seluruh negara dikatakan hanya sebagai strategi pihak tidak bertanggungjawab bagi meraih simpati orang ramai.
Kewujudan pendaftaran untuk warga emas, ibu tunggal dan orang kampung yang miskin juga dikatakan menjadi salah satu taktik pusat kebajikan dinaungi pertubuhan di negara ini bagi mendapatkan lebih banyak sumbangan.
Nur mendakwa, bantuan yang diberikan kepada golongan itu hanya diberi sekali sekala untuk menutup mata awam mengenai aktiviti dilakukan pihak terbabit.
Pengurusan pertubuhan biasanya tidak memberi bantuan berterusan dan kadang kala mereka yang berdaftar dengan pertubuhan akan dilayan secara kasar sekiranya mahu meminta sumbangan walau sekampit beras.
“Ada warga emas atau orang miskin yang kadang-kadang terpaksa tunggu dari pagi sampai petang hanya untuk dapat sekampit beras sedangkan beras banyak di stor, kadangkadang mereka disuruh balik.“Apabila saya tanya mengapa tidak beri beras sedangkan bekalan ada, jawab pihak pengurusan tidak perlu tolong orang miskin selalu dan perlu lebih mementingkan mereka yang berada di sekeliling pemimpin pertubuhan itu,” katanya.
Sumbangan diberi orang ramai kepada pertubuhan adalah milik pemimpin dan hanya boleh diedar untuk rumah pemimpin sahaja. "Akibatnya, anak-anak yatim kecil dan dewasa hidup bagaikan pengemis duduk situ, ramai antara mereka yang sudah besar keluar, yang tinggal hanya anak jemaah," katanya.
No comments:
Post a Comment