Friday, 16 August 2013

Dr Muhammad: Pembunuhan berleluasa bukan disebabkan oleh kebebasan seperti kata Tun M

Dr Muhammad: Pembunuhan berleluasa bukan disebabkan oleh kebebasan seperti kata Tun M

Kebebasan adalah sebahagian daripada agenda transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan peningkatanpembunuhan jalanan menggunakan senjata api bukanlah disebabkan oleh kebebasan itu sepertimana yang dikiaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata seorang penganalisis politik.

Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni Kolej Undang-undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr Muhammad Fuad Othman berpendapat, Malaysia sudah bersedia untuk melakukan perubahan seperti yang digagaskan oleh pentadbiran Najib.

“Najib ingin lakukan transformasi dalam negara dan sememangnya negara sudah bersedia untuk berubah.

“Kata-kata Tun Mahathir seolah-olah kita tidak boleh berubah. Situasi semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan situasi sekarang berlainan. Cabarannya berlainan.
“Dulu semasa negara dikawal oleh undang-undang ketat, negara ini dipanggil negara ‘polis’. Sekarang (kerajaan) sudah lakukan transformasi, terlalu longgar pula,” katanya kepada Astro Awani.

Muhammad Fuad mengulas komen Dr. Mahathir pada Khamis bahawa peningkatan kes pembunuhan menggunakan senjata api yang meningkat kebelakangan ini adalah harga bagi kebebasan yang perlu dibayar oleh setiap rakyat.

Walau bagaimanapun, Muhammad Fuad berkata kebebasan yang sedia ada harus disuaikan dengan tanggungjawab yang lebih mendalam untuk mengelak kejadian pembunuhan jalanan yang berleluasa.

“Terdapat pelbagai elemen yang harus dipertimbangkan bersama kebebasan ini. Contohnya di negara yang lebih liberal, terdapat banyak kawasan yang diawasi dengan bantuan CCTV dan anggota polis dipertingkatkan.

“Adakah kita sudah melakukan semua itu?” tanyanya.

Dr. Mahathir dalam satu sidang media pada Khamis berkata dalam suasana lebih liberal sekarang, sukar bagi pihak berkuasa untuk mengatasi keganasan senjata api dan mereka hanya boleh mengambil tindakan setelah ia berlaku.

"Rakyat Malaysia amat baik dan mereka tidak suka membunuh satu sama lain... kecuali sekarang apabila pembunuhan agak lebih kerap berlaku setiap hari, ada orang yang kena tembak... itulah harga bagi kebebasan," katanya.

Sejak April hingga bulan lepas, 23 kes tembakan di jalanan dilaporkan berlaku di seluruh negara termasuk yang melibatkan individu berprofil tinggi. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment