Wednesday, 26 February 2014

Samsung lancar S5 dengan pengimbas cap jari dan penyukat degupan jantung


Samsung


SAMSUNG pada Isnin melancarkan peranti telefon pintar terbaharunya,  S5, dilengkapi dengan ciri-ciri pengimbas cap jari dan pengesan kadar degupan jantung.

Pelancaran di Barcelona, Sepanyol itu dilihat sebagai usaha syarikat Korea itu untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu industri.

Turut dilancarkan “gelang” untuk mereka yang mementingkan kesihatan.

Samsung

Ketika ini Samsung  menguasai 30 peratus pasaran telefon bimbit dunia, hampir dua kali ganda dari pesaing  terdekatnya, syarikat Apple.

Namun disebalik kejayaan melancarkan produk baru, pemerhati berkata adalah sukar buat Samsung untuk meraih keuntungan lumayan berikutan keadaan pasaran yang semakin sengit termasuk pengeluar dari China.

Antara paparan S5, adalah pengenalan pengesan kadar jantung yang menggunakan sentuhan jari pada sinar pengesannya. (Klik Video)





Secara keseluruhannya ia dibina menggunakan bahan plastik dengan sentuhan ala kulit di bahagian belakang.

Ini termasuk dengan paparan skrin 5.1 inci, 16 mega-pixel dan butang home juga digunakan sebagai pengesan cap jari.

Jangka hayat baterinya juga dikatakan lebih lama.

Samsung

Semalam Samsung turut melancarkan jam tangan pintarnya Gear 2.

Menurut firma penyelidikan Gartner Inc, pasaran  telefon pintar dunia kini dianggarkan meningkat 42.3 peratus dengan sejumlah 968 juta unit dijual tahun lalu.

Pasaran  negara baru naik, penyumbang besar kepada jualan.

Sumber: Agensi 

Tuesday, 25 February 2014

Warga pendidik tidak harus bimbang PBS

Idris Jusoh

PUTRAJAYA - Warga pendidik diminta menumpukan perhatian terhadap tugas mereka dan tidak merasa bimbang dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditangguhkan sehingga April depan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian mengambil perhatian terhadap pelbagai pemasalahan yang dihadapi guru berhubung sistem PBS yang dilaksanakan sebelum ini.

Sehubungan itu, bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS yang akan diumumkan kementerian pada 1 April depan tidak akan membebankan guru dengan pelbagai tugasan.

"PBS ini harus diteruskan..ia diperkenalkan kementerian untuk mentaksir (menilai) pelajar dari sudut emosi, jasmani, rohani, intelekual dan sosial.

"Ia (PBS) dapat membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Hadiah Portfolio Terbaik 1Citizen di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung status terkini PBS sama ada ia akan dihentikan selepas dibantah beberapa pihak yang mendakwa ia membebankan guru.

Semalam, Idris berkata kementerian tidak akan memansuhkan PBS dan akan mengumumkan bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS pada 1 April ini.

Mengenai Program Pensijilan 1Citizen, Idris berkata ia merupakan pogram latihan yang dibangunkan khas untuk memupuk perpaduan negara dan masyarakat pelbagai kaum melalui penggunaan teknologi secara berhemah.

"Sehingga 31 Januari, 2014, Kementerian Pendidikan telah melatih 81,033 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengenai tatacara penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang beretika," katanya.

Program Pensijilan 1Citizen telah dilancarkan pada September, 2011 dan dibangunkan oleh Prestariang Systems Sdn Bhd (Prestariang) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. 

Prestariang ialah sebuah syarikat berstatus koridor raya multimedia (MSC) Malaysia yang mengendalikan pensijilan dan latihan dalam ICT, serta menguruskan lesen perisian dan pengedaran lesen perisian.

Idris berkata program itu akan menyemai sikap bertanggungjawab di kalangan pelajar IPT supaya lebih memahami nilai-nilai etika ketika berinteraksi di media sosial dan di Internet.

Dalam majlis penyampaian Hadiah Portfolio Terbaik 1Citizen, seorang pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norliyana Othman memenangi hadiah RM500 dalam kategori Pencapaian Terbaik Pelajar IPT tahun 2013.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula memenangi kategori penghantaran Portfolio 1Citizen paling banyak dan memenangi hadiah RM10,000. - Bernama