Saturday, 2 January 2016

Polis tahan 14 suspek rompak, pukul pemilik restoran tomyam di Sungai Ara

Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, sekumpulan 40 lelaki bertindak menyerbu restoran berkenaan sebelum memukul pemilik kedai, isterinya dan tiga pekerja mereka dengan menggunakan topi kaledar serta kerusi. - Gambar Hiasan

GEORGE TOWN: Polis menahan 14 lelaki bagi membantu siasatan kes rompak dan pukul pemilik kedai tomyam dan isteri serta tiga pekerja di restoran mangsa di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, dekat sini awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Nor Salawati Saad berkata semua mereka berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang sejak semalam hingga awal pagi tadi.

Menurut Nor Salawati, dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, sekumpulan 40 lelaki bertindak menyerbu restoran berkenaan sebelum memukul pemilik kedai, isterinya dan tiga pekerja mereka dengan menggunakan topi kaledar serta kerusi.

"Semasa kejadian, restoran berkenaan sedang beroperasi dan terdapat beberapa pelanggan.

"Kumpulan lelaki berkenaan turut bertindak mengambil wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM15,000 milik pemilik restoran berusia 40-an itu sebelum mereka melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Nor Salawati berkata kejadian berkenaan turut menyebabkan pasangan suami isteri dan tiga pekerja mereka yang berusia 20-an itu cedera.

Katanya berdasarkan siasatan, pemilik restoran itu merupakan warga Thailand dan berkahwin dengan warga tempatan serta telah menjalankan perniagaan restoran tomyam berkenaan sejak dua tahun lepas.

"Mangsa kenal beberapa lelaki yang datang menyerang kedainya dan tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan berlaku disebabkan mereka pernah ke kedainya dan minuman yang dipesan lambat sampai.

Nor Salawati berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis melancarkan operasi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan dan berjaya menahan 14 lelaki serta usaha mengesan yang lain giat dijalankan.

Kesemua suspek direman dan kes disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

- Sumber: Bernama | Januari 02, 2016 

No comments:

Post a Comment