Monday, 28 December 2015

Hentikan tanggapan serong perkahwinan saya - Adira

PENYANYI Adira Suhaimi

KOTA KINABALU: Penyanyi Adira Suhaimi, 25, yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila bernikah dengan ahli perniagaan selepas dikatakan berkenalan tidak sampai sebulan, mahu semua pihak menghentikan spekulasi dan tanggapan negatif terhadap dirinya.

Adira berkata, beliau kini bahagia bersama Datuk Seri Adnan Abu, 37, biarpun dirinya berkongsi suami.

"Saya sedar sebagai isteri kedua, perlu banyak pengorbanan. Malah, suami boleh meluangkan lebih banyak masa bersama isteri pertama disebabkan mereka mempunyai anak-anak yang masih kecil serta perlu diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas membuat persembahan pada Konsert Aktif 7 anjuran rangkaian radio RTM di Kompleks Sukan Likas di sini, malam tadi.

Minggu lalu, Adira mengakui sudah bergelar isteri kedua kepada Adnan selepas melangsungkan pernikahan di Songkhla, Thailand, tiga minggu lalu.

Walaupun tidak sampai sebulan berkenalan, selain hanya berjumpa dua kali sepanjang tempoh itu, Adira dilaporkan nekad menerima lamaran selepas melihat keikhlasan dan kesungguhan ahli perniagaan itu.

Adira berkata, beliau berharap tiada lagi spekulasi baharu yang timbul berhubung pernikahannya itu.

"Saya harap selepas ini tiada lagi spekulasi baharu yang timbul dan keterbukaan berkongsi status diri sekarang diharap dapat menghentikan semua persoalan dan tanggapan negatif terhadap saya," katanya.

Adira berkata, Adnan tidak pernah mengehadkan aktiviti seni malah memberi sokongan untuk terus menyanyi.

"Daripada sudut kerjaya, sejak berkahwin, suami tidak pernah mengehadkan aktiviti seni malah sering memberi sokongan sepenuhnya. Manakala perancangan menimang cahaya mata pula kami terima jika ada rezeki dalam masa terdekat," katanya.

Adira berkata, beliau tidak mahu terus terpalit dengan kisah sensasi dan kontroversi, sebaliknya mahu lebih fokus kepada perancangan dunia seni sepanjang tahun baharu 2016.

Sebelum ini, desas-desus mengenai pernikahan penyanyi kelahiran Sabah itu menjadi perbualan selepas gambar yang dimuat naik oleh wanita yang mengaku sebagai madunya itu tersebar di sosial media.

Sebelum ini, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi bertunang dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin pada Disember 2014 sebelum ikatan terlerai empat bulan kemudian.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment