Sunday, 22 November 2015

Kisah benar amah jadi jurugambar


Xyza Cruz Bacani

SIAPA sangka hidupnya yang dulu hanya pembantu rumah di Hong Kong, hari ini dia mampu mengelilingi dunia dengan sebuah kamera yang tidak lekang di tangan.

Xyza Cruz Bacani gadis berusia 28 tahun mula dikenali selepas memenangi biasiswa sebuah Yayasan Hak Asasi Manusia untuk menyambung pengajian ke Universiti New York dalam pengajian fotografi selama enam minggu.

Kini Xyza dikenali sebagai jurugambar jalanan dan dokumentari Filipina di mana karyanya banyak disiarkan New York Times Lens Blog, CNN dan beberapa agensi media antarabangsa yang lain.

Menurut BBC, namanya dikenali bukan kerana hanya kerana hasil kerjanya namun juga cerita penuh inspirasi di sebalik kejayaan itu.

Anak kelahiran Bambang, Nueva Vizcaya, Filipina ini bekerja sebagai pembantu rumah hampir sepuluh tahun dan di situ dia ‘bercerita’ tentang komuniti sekitarnya yang penuh kisah tersurat dan tersirat.

Apabila dia berpeluang keluar dari rumah walau hanya untuk membeli barang dapur, dia tidak meninggalkan kamera digital yang dibeli dengan meminjam wang dari majikannya.

“Apabila saya keluar, saya rasa tenang. Hanya saya dan kamera. Saya bukan pekerja asing dari Filipina. Saya bukan pembantu rumah. Saya hanya gadis yang membawa kamera. Itu yang saya rasa setiap kali saya menangkap gambar.

“Saya tidak malu menjadi pembantu rumah. Malah saya bangga dengan kerja itu tapi anda juga tidak boleh nafikan bahawa wujudnya diskriminasi, stereotaip apabila anda menjadi pekerja asing. Jadi, fotografi adalah pelindung saya dari rasism dan diskriminasi,” ceritanya seperti dilapor Inquirer.net.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan, Xyza ke Hong Kong menyertai ibunya yang telah terlebih dahulu bekerja sebagai pembantu rumah di sana.

Majikan ibunya itu telah membiayai pengajiannya sejak dulu dan selama sembilan tahun dia bekerja dengan wanita yang telah menerima ibunya bekerja sejak 20 tahun lalu itu.

Akui hanya bermula sebagai hobi, namun lama-kelamaan, menangkap gambar sudah menjadi sebahagian hidupnya yang diumpakan bagai makan tak kenyang, mandi tak basah jika tidak mengambil gambar untuk sehari.

Dari hanya merakam gambar-gambar jalanan, Xyza beralih kepada fotografi dokumentari yang memfokus kepada populasi pembantu rumah yang sangar besar di Hong Kong.

“Apabila saya mula melawat pembantu-pembantu rumah yang didera di Bethune House Migrant Women’s Refuge, saya sedar bahawa saya ada tanggungjawab untuk menjadi suara kepada mereka,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment