Najib (dua, kanan) bertemu orang ramai ketika lawatannya ke bazar Ramadan Bandar Dara Chini di Pekan pada Ahad.
PEKAN: "Biar betul...murah sangat kuih awak jual?" Itu reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila diberitahu enam keping kuih lopes dan lapan keping cucur udang hanya berharga RM4.
Penjual kuih itu Razali Abdul Latip, 58, berkata perdana menteri yang mengunjungi bazar Ramadan Bandar Dara Chini di sini hari ini, bertanyakan soalan sama sebanyak dua kali kerana mahukan kepastian mengenai harga kuih tersebut.
"Saya terangkan pada beliau bahawa kuih lopes ini tiga keping untuk RM1 manakala cucur udang RM1 boleh dapat empat keping.
"Pada awalnya beliau mengambil tiga sahaja cucur udang, tapi bila sudah diberitahu harganya terus perdana menteri cukupkan RM2... Itu pun beliau masih kata terlalu murah," katanya kepada Bernama semasa ditemui di bazar berkenaan.
Razali berkata beliau hanya mengambil upah menjual kuih itu dan harga yang dikenakan adalah berdasarkan persetujuan bersama dengan pembuat kuih, yang masing-masing enggan mengenakan harga mahal.
Harga murah itu merupakan 'strategi' mereka untuk menarik lebih ramai pembeli selain mengekalkan rasa kuih yang sedap, kata Razali yang telah 30 tahun meniaga di bazar berkenaan.
Selain itu, kunjungan Najib ke bazar itu juga menggembirakan penjual air tebu Siti Zaleha Ahmad, 62, apabila beberapa bungkus air tebu di gerainya habis 'diborong' Anggota Parlimen Pekan itu pada harga RM32.
Siti Zaleha yang dibantu cucunya Suhaida Suparman, 22, berkata Najib adalah pemimpin negara pertama yang berkunjung ke gerainya, sejak berniaga minuman itu di tapak sama sejak 20 tahun lalu.
Najib juga sempat bertanya penjual sate dan ayam percik Zaidah Abdullah, 59, mengenai perniagaannya sementara menunggu wanita yang berasal dari Felda Chini 4 itu membungkus sate yang dibelinya.
"Beliau bertanya berapa cucuk sate dapat saya jual dalam sehari. Saya jawab pada bulan puasa, jualan agak menurun iaitu 900 cucuk sehari, berbanding hari biasa yang boleh menjangkau sehingga 2,000 cucuk," katanya menambah Najib membayar RM40 untuk sate itu.
Kunjungan Najib ke bazar berkenaan, meskipun hanya selama 15 minit, cukup untuk membuat pengunjung bazar itu teruja apabila ramai di antara mereka cuba untuk merakamkan gambar bersama beliau dengan menggunakan telefon bimbit.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment