AMBER Heard. - Foto EPA
SYDNEY: Isteri aktor Hollywood, Johnny Depp, Amber Heard, berhadapan hukuman penjara dan denda kerana membawa anjing peliharaannya memasuki Australia secara haram.
Jurucakap Jabatan Komanwel Pendakwaan Awam negara itu, berkata Heard didakwa minggu ini dengan dua pertuduhan, iaitu mengimport anjingnya, Pistol dan Boo secara haram ke Australia dan satu lagi pertuduhan kerana memalsukan dokumen.
Hukuman bagi mengimport adalah penjara 10 tahun maksimum dan denda sebanyak AU$102,000 (RM286,110), manakala kesalahan dokumen palsu yang membabitkan maklumat kad penumpang akan dicaj sebanyak AU$10,200 (RM28,610) dan hukuman sehingga satu tahun penjara.
Australia mempunyai peraturan kuarantin yang ketat bagi mencegah penyakit seperti anjing gila daripada terus merebak ke dalam negara itu. Sesiapa yang ingin membawa haiwan peliharaan ke negara ini, perlu memohon permit dan haiwan itu dikuarantin selama 10 hari.
Insiden itu membangkitkan kemarahan Menteri Pertanian Australian, Barnaby Joyce. Joyce dalam satu kenyataannya menyebut, "bawa keluar anjing itu atau berdepan dengan kematian".
"Jika kita membiarkan bintang filem masuk ke negara ini dengan binatang kesayangan mereka, lebih baik kita biarkan sahaja semua orang melanggar peraturan sedia ada. Sekarang adalah masa untuk Pistol dan Boo pulang semula ke Amerika Syarikat," katanya. - AP
No comments:
Post a Comment