Friday, 17 July 2015

Bingkisan Syawal Elfira, Saleha

Elfira Loy dan Siti Saleha

KETIBAAN Syawal pastinya amat dinanti-nantikan bukan sahaja mereka yang beragama Islam di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Tentu sekali, pada musim perayaan Aidilfitri inilah kita berpeluang untuk bertemu saudara mara dan mengeratkan silaturahim.
Malah, dalam sebulan berpuasa, tentunya ramai yang sudah mula membuat persiapan raya, seperti menempah atau membeli baju baru. Tidak kurang juga yang mula membuat kuih.
Tidak ketinggalan buat golongan selebriti terkenal yang mempunyai pelbagai cerita menarik menjelang Aidilfitri.

Begitu jugalah dengan kisah dua selebriti popular, Elfira Loy dan Siti Saleha.

Tidak banyak bezanya kisah raya mereka dengan insan biasa yang lain, baik Elfira mahupun Saleha, kedua selebriti ini memilih untuk meraikan Aidilfitri dengan cara sederhana.

“Tahun ini persiapan El buat secara sederhana sahaja. Malah tahun ini juga El tak dapat bercuti panjang kerana El akan menduduki peperiksaan kira-kira seminggu selepas raya nanti,” ujar Elfira kepada Zass.

Sama seperti Elfira, Saleha berkata, dia akan menyambut Lebaran bersama keluarga di Kuala Lumpur sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun tanpa ibu yang berada jauh di Portugal, Saleha berkata, dia akan menyambut Aidilfitri secara sederhana bersama ayah dan adik-adiknya yang lain.

“Tahun ini mungkin sedikit berbeza kerana abang (Sam Bunkface) sudah pun mendirikan rumah tangga. Jadi saya tak pasti dia akan pulang berhari raya di mana dulu.

“Persiapan juga saya lakukan secara sederhana, apatah lagi raya tahun lepas saya sudah berbelanja besar. Jadi tahun ini persiapan dilakukan secara sederhana sahaja,” katanya yang ditemui bersama Elfira di Pelancaran Koleksi Raya Habib Jewel, baru-baru ini.

Elfira kehilangan 

Dalam pada itu, jika Elfira dilihat lebih gemar untuk bercuti ke luar negara setiap tahun untuk meraikan sambutan Aidilfitri, tahun ini pula, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memilih untuk pulang ke kampung halaman ibunya di Kedah.

“Tok Wan (Datuk) saya meninggal dunia kira-kira seminggu sebelum Ramadan lalu. Jadi kami sekeluarga buat keputusan untuk pulang ke kampung menemani Tok (Nenek). Kami akan pulang beberapa hari sebelum raya dan mungkin akan berada di sana selama seminggu,” ujarnya.

Enggan terus bersedih demi memberi kekuatan kepada neneknya, Elfira berkata, tatkala raya menjelma, secara tidak langsung mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak yang tak mungkin dapat diputar semula.

Katanya, kenangan seperti masak beramai-ramai dengan bahan mentah seperti ayam yang ditangkap dari belakang rumah, kini hanya tinggal satu nostalgia.

“Dulu ketika kecil, berkumpul sebelum raya ibarat menjadi satu kewajiban dan kemudian kita akan masak bersama-sama. Manakala arwah Tok Wan akan sembelih ayam dan kami akan bersihkan ayam.

“Sekarang masih berkumpul masak bersama, tapi biasanya, ayam yang dibeli sudah siap dibersihkan dan dipotong. Malah apabila ramai yang sudah berkahwin dan besar, komitmen juga semakin banyak, jadi agak sukar untuk berkumpul beramai-ramai seperti dulu,” katanya.

Dua menu pilihan

Menggemari juadah ketupat daun palas kacang soya dan rendang ayam, gadis berusia 21 tahun ini berkata, dua menu itu menjadi juadah wajibnya di pagi raya.

“Kalau juadah raya, dua menu itu memang tak tinggal. Tapi biskut raya El agak memilih sebab El jenis tak suka makan biskut raya. Kalau makan pun, ia adalah buatan ahli keluarga. Contoh macam biskut makmur, hanya buatan Tok sahaja yang El makan,” ujarnya.

Tidak terlibat dengan apa-apa projek selepas raya, anak kedua dari empat adik-beradik ini akan memberi sepenuh tumpuan terhadap pengajiannya.

“Sekarang El memang tak ambil projek yang panjang. Kalau ada pun hanya tawaran pengacaraan. Selebihnya El akan menghadiri kuliah. Kalau boleh El memang nak habis pengajian secepat mungkin,” jelasnya.

Saleha rai peminat di Ipoh

Bagi gadis kacukan Inggeris-Melayu ini, dia memilih untuk menyambut Lebaran bersama peminat dengan cara yang berbeza. Biarpun sibuk dengan penggambaran Uda dan Dara, Saleha berkata, dia dan kelab peminatnya akan beraya bersama-sama pada 1 Ogos nanti di Ipoh, Perak.

“Bagi mencari kelainan, saya dan kelab peminat akan menyambut Lebaran dan juga mengadakan rumah terbuka di rumah salah seorang ahli kelab peminat saya di Ipoh.

“Sebab utama kami memilih untuk menyambut hari raya di Ipoh adalah kerana kami inginkan sambutan dalam suasana di kampung. Dan saya agak teruja untuk menyambut bersama peminat. Maklumlah saya tiada kampung (ketawa),” katanya.

Rindu zaman kanak-kanak

Mengimbau sambutan hari rayanya, Saleha berkata, sama seperti orang lain, dia juga merindui zaman berhari raya ketika masih kanak-kanak yang tidak mungkin dapat diulanginya lagi.

“Bila kita makin besar, semuanya akan berubah. Tapi tidak dengan kenangan. Walaupun makin tua, kenangan itu tidak mungkin terpadam begitu sahaja.

“Tentulah saya rindu dengan kenangan dapat duit raya, bermain bunga api dan sebagainya. Tapi sekarang saya pula yang memberi duit raya (ketawa). Tapi tak mengapa sebab itu adalah putaran biasa,” katanya.

Menyukai juadah rendang di pagi raya, Saleha berkata, dia bercita-cita untuk belajar memasak juadah istimewa itu jika ada kelapangan kelak.

“Hasrat untuk belajar memang sudah lama dipendamkan. Tapi sebab tak ada masa dan tak ada orang yang boleh ajarkan, jadi kena sabar. Apatah lagi, bila raya kat rumah memang tak ada ketupat, rendang.

“Jadi itu yang menguatkan semangat saya untuk belajar memasak rendang. Jadi bolehlah saya masak nanti,” akhirinya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment