Monday, 18 May 2015

Hukuman mati Mursi tindakan zalim - Tun Mahathir

Mohammed Mursi

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan keputusan Mahkamah Mesir yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi sebagai tindakan zalim.

Menurutnya, penghakiman yang dibuat oleh pihak yang menentang Mursi tidak sepatutnya berlaku.

“Dalam Islam disebut berkali-kali, apabila kau menghukum, hukumlah dengan adil. Ini hukuman dibuat oleh pihak yang menentang dia (Mursi), tidak bolehlah. Saya berpendapat itu zalim,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran buku ‘Dr Mahathir’s Selected Letter’s to World Leaders volume two’, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Mursi,ulama Islam dunia, Yusuf Al-Qaradawi dan 105 penyokong Ikhwanul Muslimin dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang Presiden, Hosni Mubarak.

Mursi mendengar keputusan itu di kandang pesalah, manakala sebahagian besar tertuduh yang lain tidak hadir, termasuk Yusuf Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar.

Bagaimanapun, hukuman tersebut hanya akan dilaksanakan selepas mendapat ‘restu’ daripada pihak berkuasa agama paling tinggi di negara itu, Mufti Besar Mesir dan keputusan akhir hukuman akan diumumkan pada 2 Jun ini.

Dalam perkembangan lain, Yusuf Al-Qaradawi mengutuk keras keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal serta mencabul hukum Islam melalui satu rakaman video yang dimuatnaik ke laman Twitternya pada Ahad lalu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment