Saturday, 9 May 2015

'Terima kasih kepada pembocor maklumat'

KUALA TERENGGANU – Pemuda Umno Terengganu berterima kasih kepada individu yang membocorkan maklumat sulit tentang pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji (TH) bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange.

Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar berkata, jika bukan kerana individu tersebut, rakyat khususnya pendeposit TH tidak akan tahu tentang pembelian sebidang tanah yang kini timbulkan rasa tidak puas hati semua pihak.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak pengurusan TH memberi jawapan segera dan konkrit bagi meredakan kemarahan rakyat terutama pendeposit TH, kerana mereka berhak mengetahui bagaimana wang mereka depositkan dilabur.

“Kami faham TH perlu buat pelaburan dalam sektor hartanah bagi membolehkan pendeposit TH mendapat pulangan dalam bentuk dividen. Persoalannya, adakah pembelian ini strategi selamatkan 1MDB?.

“Ini kerana tanah ini dijual kerajaan pusat kepada 1MDB dengan harga RM60 sekaki, tetapi dijual kepada TH RM2,860 sekaki,” katanya.

Dengan pelbagai isu dan persoalan sekarang, katanya, presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertindak segera memperjelas dan menyelesaikan beberapa perkara supaya ia tidak terus menjadi persoalan kepada rakyat.

Perkara itu melibatkan isu tekanan kos sara hidup akibat kegagalan pengurusan kawalan harga barang, polemik isu pengurusan 1MDB, perumahan generasi kedua Felda serta isu GST.

“Pendirian Pemuda Umno Terengganu, jelas. YAB Presiden perlu bertindak segera bagi memperjelaskan perkara ini kepada rakyat, agar ia tidak lagi menjadi persoalan.

“Jika perlu distruktur semula apa pun organisasi yang jadi tumpuan ketika ini, jika perlu disegerakan penyiasatan atau proses audit, presiden perlu bertindak sekarang,” katanya.

Sebagai sayap muda dalam parti, pihaknya turut memerlukan penjelasan sebagai wakil Umno di peringkat itu untuk memastikan Umno kekal relevan.

Mengulas lanjut, isu-isu yang menjadi persoalan ketika ini melibatkan soal integriti kepimpinan, kepercayaan dan sokongan rakyat kepada Umno dan kerajaan.

Jelasnya, tiada maknanya segala dasar baik yang dijuarai Umno hanya dilihat rakyat sebagai liabiliti dan menjadi polemik dalam pentadbiran negara.

“Kami percaya sebagai bapa, YAB presiden tak akan terus membiarkan semua ini berterusan dan bertindak sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno dan kerajaan BN,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment