Saturday, 9 May 2015

Keupayaan Charlize Theron

Charlize Theron

MENERUSI filem The Devil Advocate pada 1997, gadis kelahiran Afrika Selatan, Charlize Theron mula cuba mencipta nama sekali gus menumpang gemerlapan dunia bintang Hollywood.

Masakan tidak, sebagai ‘orang luar’, keupayaan Theron bersaing dengan barisan pelakon baharu Amerika Syarikat (AS) begitu perit.

Malah dia terpaksa meredah rintangan dan cuba memperlihatkan kemampuan luar biasa supaya lebih menonjol daripada bintang muda lain.

Sebaik sahaja mendapat tawaran dalam filem pertama itu, dia terpaksa mengikis loghat pertuturan Afrika Selatannya dan mula belajar loghat AS.

Untuk itu, dia menonton TV berjam-jam sehari dan mendengar radio serta menyanyi lagu-lagu AS sebanyak mungkin. Begitu pun, Theron tetap menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai banyak budaya.

Berbanding dengan pelakon jati AS, dia mengenal budaya lain selain budaya sekelilingnya dan ini memudahkan Theron mendapat peluang untuk menjiwai karakternya.

Aktres itu kemudiannya berlakon dalam filem 2 Days In Valley pada 1996, Sebaik sahaja menghabiskan filem tersebut, dia terus ditawarkan dalam filem arahan Tom Hanks, That Thing You Do (1996), sebagai Tina, teman wanita kepada salah seorang ahli kumpulan 1960-an.

Bakat lakonannya terus berkembang dan dia mula muncul dalam filem-filem pecah panggung seperti Hollywood Confidential (1997), Trial & Error (1997), Mighty Joe Young (1998), Sweet November (2001), The Italian Job (2003), Hancock (2006), The Burning Plain (2008), Snow White & the Huntsman (2012) dan Two Eyes Staring (2013).

Ternyata, Theron berjaya mencipta nama di AS sehingga membawa pulang banyak anugerah seperti Anugerah Oscar dan Anugerah Golden Globe bagi kategori Aktres Terbaik.

Takut tua?

Menarik mengenai Theron adalah apabila dia tidak berasa risau akan masalah penuaan yang biasa akan dihadapi oleh semua wanita.

Meskipun bakal menginjak usia 40 tahun, Theron mengakui penuaan bukanlah satu masalah besar dan tidak akan merubah kecantikan seseorang wanita.

Malah, dia sentiasa percaya dan yakin pada penampilan dirinya.

"Bertambah usia bukanlah satu hal buruk. Ramai wanita terlalu mudah menghakimi wanita lain hanyalah kerana faktor umur. Malah, dalam kalangan masyarakat sendiri sentiasa berfikir yang wanita akan menjadi seperti potongan bunga layu yang akhirnya akan gugur.

"Nasihat saya semua wanita yang berusia 20-an agar jangan takut untuk tua, jangan stres dan jangan minum Chardonnay (anggur putih) terlalu banyak," katanya.

Katanya, pertambahan usianya berlaku seiring dengan kematangannya dalam menjalani kehidupan dan kini sedang merancang untuk berkahwin dengan tunangnya, Seann Pean.

"Ketika saya berumur 30-an, saya sedar saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Tetapi, saya lebih menikmati hidup.

"Saya tak tahu menjadi ibu di akhir 30-an benar-benar menyenangkan, ia memberikan sebuah pandangan baru," katanya.

Botak kepala

Selepas 30 tahun berlalu, kini filem keempat dalam francais Mad Max kembali menemui penonton. Menggunakan judul ‘Mad Max: Fury Road’, filem yang pernah popular sekitar tahun 1980-an ini kembali dengan aura dan kejutan baharu di bawah arahan pengarah hebat, George Miller.

Jika sebelum ini watak utamanya digalas oleh aktor, Mel Gibson, untuk sekuel keempat ini, ia diisi pula oleh Tom Hardy yang bijak mencorakkan watak Max Rockatansky dengan caranya yang tersendiri. Begitu juga dengan Theron, yang begitu komited mencorakkan wataknya sebagai Imperator Furiosa.

Malah, demi memenuhi wataknya, Theron sanggup membuang rambut perangnya apabila tampil dengan potongan rambut yang hampir botak dan comot.

Dia bagaimanapun kelihatan sangat tenang dengan penampilan terbaharunya. Imej terbaharu Theron dilihat semasa membawa anak angkatnya, Jackson bersiar-siar di kawasan kediamannya di Beverly Hills, AS.

"Pada awalnya semua paparazi hampir tidak mengenali dirinya kerana dia menutup kepala dengan topi, namun setelah melihat dia mengendong Jackson baru kami sedar itu adalah Charlize Theron," ujar paparazi yang mengekorinya.

Mad Max: Fury Road mengisahkan tentang Max Rockatansky (Tom Hardy) yang hidupnya dihantui dengan masa lampau yang membawa kepada kehilangan orang yang disayanginya. Max kemudiannya memutuskan untuk mengembara sendirian kerana ia dirasakan sebagai cara terbaik untuk dirinya meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, dalam pengembaraannya itu, Max bertembung dengan sekumpulan pemberontak yang diketuai oleh Furiosa (Charlize Theron) yang turut merentasi padang pasir tersebut untuk melarikan diri dari ancaman puak Citadel yang diketuai oleh Immotan Joe. Imperator Furiosa dan pengikutnya dikatakan telah mengambil sesuatu yang berharga daripada puak tersebut. Disebabkan itu berlakulah Road War antara dua puak ini.

Apakah yang berlaku seterusnya kepada mereka? Berjayakah mereka meloloskan diri? Dapatkan jawapannya dengan mengikuti filem menarik ini di pawagam yang berhampiran mulai 14 Mei ini.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment