Saturday, 2 May 2015

Pilot Cinta: Ada rakan media mengalirkan air mata


SUATU ketika dahulu, novel Pilot Cafe pernah menjadi kegilaan sesetengah remaja yang terbuai dengan jalan ceritanya.

Justeru apabila ia diadaptasi ke layar perak, ramai yang menyambut baik.

Diarahkan oleh Osman Ali, filem Pilot Cafe dijayakan pelakon seperti Fahrin Ahmad, Izara Aishah, Neelofa, Remy Ishak, Keith Foo, Eizlan Yusof, Dian P Ramlee, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Hafizzudin Fadzil.

Dan bagi anda yang biasa dengan karya sentuhan Osman Ali dalam filem-filem seperti Ombak Rindu, Cun, Sejoli, maka anda harus menonton filem ini.

Ini kerana setelah kejayaan filem-filem terdahulu terutamanya Ombak Rindu yang berjaya mencatat kutipan RM11.2 juta, anda tidak perlu merasa goyah dengan taruhan baharu Osman ini.

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup seorang juruterbang bernama Ameer Reza (Fahrin Ahmad) yang bergelumang dosa. Sikap yang sering berfoya-foya dan gemar mempermainkan hati wanita membuatkan dirinya tidak pernah tunduk pada pujuk rayu dan air mata wanita.

Namun segalanya berubah apabila dia kehilangan sahabatnya, Harris (Keith Foo) yang maut ketika mengendalikan helikopter. Ameer mula sedar hidupnya selama ini penuh dengan kejahilan. Lalu, dia berniat insaf dan meninggalkan kekhilafan lampau.

Ameer sering diburu igauan mimpi ngeri atas perbuatan silamnya. Bagi menebus dosa silam, Ameer berhenti dari menjadi juruterbang dan mengusahakan ‘Pilot Cafe’.

Takdir telah menemukan Ameer bersama gadis kampung, Maya (Izara Aishah) yang diburu bapa ayam. Melihat keadaan Maya, Ameer terus menghulurkan bantuan.

Sedikit demi sedikit Ameer mengetahui punca Maya melarikan diri ke Kuala Lumpur dan itu membuatkan dia simpati terhadap gadis naif yang berbadan dua dek terlanjur dengan kekasihnya Rashid (Remy Ishak).

Saat itu, dia terkenangkan Sharmila (Neelofa) iaitu salah seorang gadis yang ditidurinya dan tanpa sedar dia tertarik pada gadis itu. Malangnya, Sharmila menghilangkan diri sewaktu dia menyuruhbya menggugurkan kandungan.

Lantas, Ameer mengambil keputusan menjaga Maya dan memberi perhatian pada bayi kandungannya.

Sementara itu, Ameer mula jatuh cinta pada Maya. Namun, Maya masih menyintai Rashid. Sedarlah kini betapa perit dan seksa jiwa yang dinoda cinta.

Ketika Ameer terkapai-kapai dalam kekecewaan, Sharmila muncul bersama seorang budak lelaki seiras wajah Ameer.

Apa yang boleh penulis katakan, jalan cerita filem ini amat menyentuh jiwa, bahkan pada sesi tayangan baru-baru ini, ada rakan media mengalirkan air mata.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment