JULIE Dahlan, bukanlah nama picisan dalam industri seni tempatan, malah penerbit dan pelakon filem serta drama popular era 90-an itu, mencipta nama menerusi pelbagai filem terbitannya seperti Harry Boy (1991), Wira Angkasa (1987), Driving School (1990) dan terakhir Cinta Metropolitan (1995).
Menyelak pembabitan awal insan seni ini dalam dunia lakonan, dia mula dikenali pada usia 28 tahun apabila terlibat sebagai pelakon tambahan dalam beberapa karya di televisyen.
Namun, minatnya dalam dunia lakonan sedikit demi sedikit mula pudar apabila terlibat secara tidak langsung dalam kerja-kerja belakang tabir sebagai kru produksi.
Atas kesungguhan yang ditonjolkan dalam bidang ini, industri memberi peluang kepada Julie atau nama sebenarnya, Junaidah Dahlan, 62, untuk berada di kerusi pengarahan.
Bermula sebagai penolong pengarah, Julie terus diberi tanggungjawab untuk berdiri sebagai pengarah menerusi karya pertamanya, Kad Cinta pada 1995.
Bergelar pengarah, Julie turut memberi sumbangan besar kepada industri seni apabila melahirkan nama-nama besar yang berjaya mengekalkan populariti hingga ke hari ini seperti Nasha Aziz, Vanodah Imran, Sofea Jane dan Erra Fazira.
Berjaya menubuhkan syarikat produksi sendiri, JD Productions Sdn Bhd, Julie juga pernah membintangi filem-filem lain seperti Si Badol (1979), Idola (2002) dan terakhir Cicakman 2: Planet Hitam (2008).
Komplikasi penyakit
Menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Ampang pada jam 7.30 malam, kelmarin, Julie sebelum ini telah disahkan mengidap beberapa penyakit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah buah pinggang.
Sejak setahun lalu, sakit buah pinggang yang dialami ikon seni ini semakin kronik dan dia perlu melakukan rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Selain berdepan dengan penyakit berkenaan, Julie juga terpaksa menanggung kos rawatan hemodialisis bernilai RM2,000 sebulan, selain rawatan sampingan penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah penglihatan.
Menyedari keperitan yang terpaksa ditanggung ikon seni ini, beberapa wakil daripada industri tampil meringankan beban dengan menghulurkan sumbangan.
Sebelum ini, Julie pernah memberitahu bahawa dia pernah dikejarkan ke hospital sehingga saluran pernafasannya ditebuk untuk memudahkan rawatan dilakukan.
“Berpunca daripada kencing manis sekarang datang penyakit pula lain termasuk tekanan darah tinggi, buah pinggang dan masalah penglihatan.
“Pada mulanya, saya rasa terpinggir tapi selepas dua tiga bulan saya kembali bersemangat dalam menempuh ujian ini,” katanya lagi.
Selamat dikebumikan pada Jumaat lalu, di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate semalam, menantunya, Shamsul Akmar Sahabudin, memberitahu arwah mula mengadu sakit pada jam 6 petang hari yang sama sebelum dikejarkan ke hospital.
“Selepas arwah beritahu kesakitan yang dialami, saya terus menghubungi ambulans dan dikejarkan ke hospital. Namun sejam selepas itu, doktor mengesahkan bahawa ibu telah tiada.
“Walaupun doktor sedaya upaya membantu, namun ALLAH SWT lebih menyayanginya dan kami reda di atas ketentuan itu,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki, Hairi Harmi, 39, dan seorang anak perempuan, Hani Nur Zara Harmi, 33.
Pemergian Julie memberi kejutan buat industri dan beberapa rakan seperjuangannya termasuk Datuk Yusof Haslam, Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, Azwan Ali dan Fizo Omar.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment