Sunday, 26 April 2015

Tertarik khasiat 'buah ajaib'

Fadzlaini bergambar bersama produk kesihatannya.

SIAPA sangka kerjayanya sebagai hos rancangan Agrotek di TV1 membawa tuah kepada Fadzlaini Ibrahim,32, yang kini bergelar usahawan produk kesihatan, Annona Coffee.

Tekadnya untuk membina empayar perniagaan bermula apabila melawat kebun buah durian Belanda atau nama saintifiknya, Annona muricata L di Negeri Sembilan.

Mengikut sejarah, pokok tersebut dikatakan berasal dari hutan tropika Carribean Amerika Selatan itu kini ditanam secara komersial di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Buah berwarna hijau itu mempunyai duri lembut dan isinya terdapat banyak biji terkandung di dalam buah tersebut.

Menurutnya, idea untuk menjadikan kopi durian Belanda kerana dia mendapati tiada pengeluar tempatan yang berani mengambil risiko tersebut.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan bagi mendapatkan kuantiti yang diperolehi dalam buah berkenaan untuk sepaket kopi keluaran tersebut.

Berbekalkan modal sebanyak RM30,000, dia memulakan pengeluaran kopi menggunakan jenama Annona Coffee dengan 1,000 kotak untuk permulaan.

"Saya tidak menyangka sambutan menggalakkan biarpun produk ini baru empat bulan di pasaran. Dalam tempoh ini, saya berjaya mengeluarkan 6,000 kotak dan berjaya dijual di serata negeri," katanya.

Produk kesihatan itu kini dijual dengan harga RM99 sekotak dan dijual menerusi ejen di 13 buah negeri.

Cuba sendiri produk

Lebih dikenali dengan nama 'buah ajaib' di kalangan masyarakat Melayu, Fadzlaini berkata, masih tidak ramai yang mengetahui khasiat terkandung dalam buah tropika itu.

Menurutnya, khasiat buah tersebut yang dipercayai dapat mengubati kanser dan bersifat anti tumor dari segi perubatan tradisional.

"Terpikat dengan khasiatnya yang luar biasa, saya menjalankan beberapa kajian terhadap buah ini untuk menghasilkan produk kesihatan yang bagus bagi sistem pencernaan manusia.

"Lagipun, buah ini ditanam secara organik dan bebas bahan kimia membuatkan saya tertarik untuk menjadikan ia sebagai kopi, teh dan juga jus," katanya.

Tidak hanya menjual produk semata-mata, dia mengakui mencuba kopi itu sebagai testimoni sebelum ia dipasarkan.

"Saya berjaya menurunkan berat badan tanpa perlu mengamalkan diet atau senaman ketat. Dengan mengamalkan minuman ini, badan saya semakin langsing dan bertenaga," katanya.

Baginya, produk tersebut bagus untuk pesakit kencing manis, darah tinggi dan batu karang.

Katanya, kopi itu mampu membuang toksin-toksin dalam badan manusia dan turut membersihkan usus secara lebih berkesan terutamanya mereka yang mempunyai masalah berat badan atau obesiti.

"Bukan sahaja pembersih kolon atau usus, minuman kesihatan ini juga membantu untuk mengempiskan perut buncit secara semula jadi.

"Tanpa kita sedar, kebanyakan punca penyakit berasal daripada usus yang tidak sihat dan tidak dapat memproses makanan dengan betul," katanya.

Tanpa bahan campuran

Selain produk kopinya, dia turut mempunyai beberapa produk lain berasaskan durian Belanda seperti teh, jus, kapsul dan juga puri.

Bagi Fadzlaini, pokok durian Belanda daripada akar hingga ke daun mempunyai khasiat tersendiri untuk mengubati penyakit secara semula jadi.

Sebagai contoh, teh buatan syarikatnya itu diproses daripada daun durian Belanda tanpa bahan campuran dan memberikan kesan pantas.

"Untuk minuman jus, saya menggunakan air mineral dan isi buah sahaja untuk mengekalkan khasiatnya.

"Begitu juga dengan produk baharu saya iaitu kapsul dan puri durian Belanda menggunakan bahan bebas kimia kerana ia ditanam secara organik," katanya.

Untuk perancangan hadapan, dia kini sedang menjalankan penyelidikan terhadap spesies herba iaitu kunyit putih.

Katanya, tidak ramai yang mengetahui kewujudan kunyit itu yang hanya tumbuh di Pulau Langkawi sahaja.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment