Zahid memberi amaran jika ada laporan polis mengenai sebarang bentuk serangan peribadi ke atas BN akan disiasat segera.
PERMATANG PAUH: “Saya cabar jika ada jentera pihak lawan yang menyiarkan dan mengedarkan video yang menyentuh isu peribadi ke atas Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya (PRK Permatang Pauh) ini, maka siasatan akan dilakukan dengan serta-merta dan tindakan akan diambil.”
Itu amaran Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh BN kepada calon yang bertanding bagi pilihan raya ini, di sini.
Beliau berkata BN tidak akan menggunakan serangan berbentuk peribadi dan dia menyeru supaya semua pihak yang bertanding perlu berkempen dengan berhemah.
“Marilah kita berkempen secara berhemah dengan cara berdemokrasi. Sistem demokrasi yang kita laksanakan mestilah dibuat dengan cara yang telus.
“Penduduk dan rakyat Permatang Pauh yang akan menjadi hakim,” jelas Zahid dalam satu sidang media semalam selepas merasmikan jentera Puteri BN bagi PRK Permatang Pauh di Dewan Transformasi, Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Zahid yang juga pengarah PRK Permatang Pauh BN berkata penduduk di sini sudah matang dan bersedia untuk beralih angin untuk menyokong BN.
Beliau turut mengulas bahawa PR seharusnya tidak menggunakan elemen simpati untuk meraih undi di Permatang Pauh ini.
“Itulah strategi mereka (PR). Tiap-tiap kali pilihan raya, umum atau kecil kononnya mereka underdog. Underdog apa? Mereka kerajaan negeri, kamilahunderdog.
“Kamilah sepatunya mendapat simpati daripada rakyat Permatang Pauh kerana selama 17 tahun ini kami dinafikan hak untuk membantu rakyat Permatang Pauh. Dan hak Permatang Pauh telah dinafikan dan dipinggirkan.
“Simpatilah kepada kami sebagai calon underdog. Cukuplah, cukuplah, cukuplah, kami pula,” ujar Zahid.
Zahid juga berkata penduduk di sini sudah jelak dan jemu dengan segala tomahan dan fitnah yang dilemparkan kepada BN.
BN juga akan menggunakan pendekatan baru seperti komunikasi interpersonal iaitu komunikasi secara bersemuka dengan penduduk di sini, jelas Zahid mengenai salah satu strategi parti.
"Saya yakin beberapa isu yang dibangkitkan pihak PR terutama mengenai GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dapat dijelaskan kepada setiap individu-induvidu dengan komunikasi interpersonal."
PRK Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon bebas.
Empat calon berkenaan ialah Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 (PKR); calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala pengundian awal 3 Mei.
PRK ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment