Lufya Omar
PENYANYI dan pelakon, Lufya Omar mengakui dirinya sering diuji oleh ALLAH SWT seiring dengan perjalanannya dalam menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.
Ekoran itu, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam ini ini nekad bersara dalam bidang nyanyian sejak tampil berhijab pada 2 Februari lalu sempena ulang tahunnya yang ke-30.
Bagaimanapun, pelantun lagu Diam ini mengakui masih lagi aktif dalam bidang lakonan dan pengacaraan walaupun kini semakin memperlahankan aktivitinya itu.
"Saya terlalu banyak diuji oleh-Nya. Selepas saja saya mengambil keputusan untuk bertudung litup, terlalu banyak tawaran yang cukup lumayan datang kepada saya. Tidak kira menyanyi mahupun berlakon. Malah, untuk lakonan, ada yang pula yang menyuruh saya untuk membuka tudung.
"Oleh sebab itu, saya nekad untuk berhenti menyanyi. Semua video dulu saya buang agar tiada lagi sejarah selepas saya berhijab. Bahkan, saya juga mula mengehadkan aktiviti lakonan saya.
"Alhamdulillah, saya dapat menerimanya dengan cukup baik dan saya sedar ALLAH SWT sedang menguji saya," katanya kepada Zass.
Tidak cepat melatah, pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar ini sebaliknya sentiasa positif dalam menerima ujian dari-Nya.
"Sebagai hamba-Nya, kita perlu sentiasa bersangka baik pada-Nya. Saya percaya pada itu. Lagipun, saya tidak takut sekiranya tiada 'job'. Setiap rezeki itu datangnya dari ALLAH SWT," katanya.
Tambahnya, hampir empat bulan berehat daripada sebarang aktiviti seni, Lufya mengakui dirinya banyak bermuhasabah diri dengan mempelajari ilmu agama.
"Sehingga kini, saya masih lagi mengikuti pelbagai kelas agama dan usrah.
"Berhijrah bukanlah sekadar memakai tudung tetapi ia meliputi semua termasuklah percakapan. Sebab itu, saya perlu belajar agar ia meningkatkan lagi kefahaman saya. Alhamdulillah, apabila belajar, saya akhirnya faham," katanya.
Pada masa sama, Lufya juga sedang merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang keagamaan tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Lufya baharu saja tamat menjalani penggambaran telefilem Mahar Tanpa Cinta untuk siaran TV3 dan Bila Hati Telah Hitam untuk Astro.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment