Friday, 24 April 2015

Dr M kata Najib tak layak jadi PM


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak menjadi Perdana Menteri negara ini apabila wang yang dipinjam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lesap dan gagal menjelaskan apa yang berlaku kepada dana tersebut.

Menurut Tun Mahathir, pelaburan 1MDB itu jelas tidak membawa apa-apa hasil malah menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM25 bilion.

"Jelas 1MDB tak bawa apa-apa pulangan daripada pelaburannya. Bukan sahaja sedang mengalami kerugian tapi kerajaan telah kehilangan wang apabila 1MDB hanya bayar RM683 juta untuk pembelian tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Sungai Besi (bekas lapangan terbang).‎

"Kehilangan sejumlah wang yang besar yang dipinjam 1MDB dan kegagalan menjawab soalan berhubung apa yang berlaku kepada dana itu yang membuatkan Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri," katanya melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini.

Mengulas lanjut soal kerugian mencecah RM25 bilion yang ditanggung kerajaan atas urusan pembelian 70 ekar tanah di TRX dan 495 ekar di lapangan terbang Sungai Besi itu, beliau menganggarkan masing-masing tanah tersebut bernilai RM6 bilion dan RM20 bilion namun 1MDB hanya membayar RM320 juta dan RM363.5 juta.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan soal beberapa pembelian aset oleh 1MDB yang lebih tinggi daripada harga pasaran iaitu‎ pembelian Tanjong Energy (Powertek Energy Sdn Bhd) dengan RM8.5 bilion dan Genting Sanyen Power (Kuala Langat Power Plant) dengan RM2.3 bilion.

‎Katanya, hutang keliling pinggang 1MDB daripada pelbagai sumber bernilai RM 42 bilion pula berlaku dengan jaminan kerajaan atau dengan kata lain, kerajaan yang berhutang.

"Kerajaan labur RM1 bilion dalam 1MDB. Mengikut rekod, 1MDB pinjam RM42 bilion dari pelbagai sumber. Syarikat yang tiada aset dan modalnya hanya RM1 juta ‎tidak boleh meminjam 42,000 kali jumlah modalnya dengan tiada cagaran. Tapi 1MDB mampu lakukan itu dengan jaminan kerajaan.

"Dengan kata lain, kerajaan yang meminjam wang tersebut. Jika 1MDB rugi, kerajaan akan tanggung. Namun operasi 1MDB tidak pula dipantau oleh pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengurusan dana kerajaan," katanya.

Setelah disebut beberapa pelaburan yang dibuat 1MDB, Dr Mahathir menganggarkan syarikat pelaburan itu masih mempunyai baki sebanyak RM27 bilion‎ yang masih tidak diketahui di mana dana tersebut berada.

"....ini semua pembelian yang diketahui. Kalau tambah semua pelaburan nilainya RM14.7 bilion‎ jadi ada baki kira-kira RM27 bilion. Lebih 1 bilion USD dikatakan telah dibayar kepada Petro Saudi tanpa pengesahan‎.Di mana wang selebihnya?

"Sebahagian jumlah telah dilaburkan di Pulau Cayman. Untuk apa? Apakah telah dibawa balik ke Malaysia?‎ Didepositkan dalam bank Swiss di Singapura? Kenapa? Dari mana wang itu dibawa balik? Kenapa wang itu tidak digunakan untuk bayar faedah RM 2 bilion itu? DI mana dana yang dikatakan dilaburkan di Pulau Cayman yang katanya telah dibawa balik itu?‎," soalnya.

Malah elalui catatan bertajuk '1MDB' itu juga, Dr Mahathir menyentuh soal tindakan Najib yang 'menyimpan' jawatan Menteri Kewangan untuk dirinya sendiri.

"Di Malaysia, Perdana Menteri dan Timbalannya selalunya akan memegang lebih daripada satu portfolio. Kadang kala apabila menanti calon yang sesuai, jawatan Menteri Kewangan akan dipegang oleh Perdana Menteri.

"Walau bagaimanapun, Datuk Seri Najib lebih suka untuk menyimpan jawatan itu dibawahnya sepanjang masa. Beliau lantik menteri kedua tapi beliau tetap perlu bertanggungjawab‎ atas apa sahaja yang berlaku pada kewangan negara," katanya.

Artikel '1MDB'‎ merupakan serangan terbaharunya terhadap Najib selepas catatannya sebelum ini menyenaraikan kegagalan Perdana Menteri itu sejak memegang tampuk pemerintahan.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment