Isu Instagram RKOM: 'Ayah belikan aku Ferrari...ayah kau beli kereta apa?'
KUALA LUMPUR: Laman Instagram 'The Rich Kids Of Malaysia' yang meriah dengan 'tayangan' barangan mewah anak-anak golongan hartawan negara membuktikan rendahnya tahap keyakinan kumpulan berkenaan kepada masyarakat sekeliling.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, situasi itu sekali gus menunjukkan keadaan tidak normal pemilik laman berkenaan dengan dunia realiti.
"Mereka saling berlawan dan menunjukkan harga keluarga masing-masing. Ayah dia belikan dia Ferrari, selepas itu tanya ayah kawan dia belikan dia kereta apa pula.
"Ini kumpulan rendah keyakinan diri, tidak menghargai diri sendiri dan cuba mencari perhatian dengan cara yang tidak sesuai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salah satu gambar di dalam Instagram RKOM yang memaparkan gaya hidup mewah golongan berkenaan - Sumber gambar 'The Rich Kids Of Malaysia'
Dr Abdul Jalil mengulas isu laman Instagram 'The Rich Kids Of Malaysia' yang sehingga kini mengumpul lebih 10,000 pengikut dengan 140 gambar pengguna Instagram lain yang menunjukkan 'harta' masing-masing untuk tontonan umum.
Sebelum ini, laman Instagram seumpama itu turut dikenal pasti adalah daripada Iran yang menggunakan akaun 'The Rich Kids of Tehran’ namun tinjauan pada Ahad mendapati akaun itu sudah digodam.
Bagaimanapun Astro AWANI turut difahamkan gambar-gambar tersebut kemungkinannya diambil tanpa kebenaran oleh pemilik laman Instagram anak-anak golongan berada berkenaan.
Ujar Dr Abdul Jalil lagi, sikap yang ditunjukkan pemilik akaun berkenaan juga bakal menjadi ikutan lebih ramai golongan ramaja yang mempunyai 'masalah' sama.
"Remaja lain akan mengikut dan berbincang isu sama sekali gus menunjukkan 'harta' mereka mengikut status dan gaya hidup masing-masing," jelasnya.
Oleh itu katanya, ibu bapa yang berada di dalam kategori berkenaan harus sentiasa memantau kegiatan anak mereka dan memastikan tiada gambar menunjuk-nunjuk harta berleluasa di laman sosial.
"Lebihkan masa bersama anak-anak. Selain ia mengundang bahaya kerana boleh mengundang jenayah, ia juga bukan sikap yang baik.
"Ibu bapa ini tidak harus terlalu sibuk dengan perniagaan dan melimpahkan kesenangan begini kepada anak-anak...lebih elok jika mereka ini dilimpahkan dengan kasih sayang dan perhatian," katanya.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment