Thursday, 26 February 2015

Sudah hilang seminggu, keluarga rayu Nur Baizura pulang ke pangkuan

Kali akhir Nur Baizura bersama ahli keluarganya adalah ketika dihantar bapanya ke tempat kerja iaitu sebuah pusat beli belah di Klang. - Foto sumber keluarga

KLANG: Tiada yang lebih penting diharapkan oleh keluarga terdekat seorang gadis yang hilang, melainkan dia kembali segera dalam keadaan sihat dan selamat.

Itulah yang diharapkan daripada seorang gadis, Nur Baizura Elham, 21, yang kini sudah hampir seminggu tiada khabar berita mengenai situasi dan keberadaannya.

Kali terakhir Nur Baizura Elham bersama ahli keluarganya adalah pada jam 9.30 pagi 21 Februari lalu sewaktu dihantar bapanya ke tempat kerja iaitu di pusat beli belah The Store di Klang.

Menurut kakaknya, Nor Balila Elham, Nur Baizura tidak mempunyai sebarang pertelingkahan dengan keluarga sebelum dilaporkan hilang, malah berkelakuan seperti biasa pada hari kejadian.

“Kami tidak ada bergaduh dan tidak ada sebab untuk adik saya lari dari rumah. Ayah saya sendiri hantar Baizura pergi kerja pada pagi itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Nor Balila, adiknya itu memiliki sifat pendiam dan tidak mempunyai ramai kenalan.

“Kami risau keadaan dia. Saya rayu pada adik saya jika dia ber kecil hati, kami bersedia mendengar. Tapi saya yakin adik saya bukan marah kepada keluarga. Saya takut dia kena culik atau dikurung,” kata Balila.

Gambar wajah Nur Baizura - Foto sumber keluarga

Pihak keluarga telah membuat laporan polis selepas 24 jam kehilangan Nur Baizura dan mereka amat berharap orang awam yang menjumpai atau terserempak dengannya agar tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran.

Sementara itu, jika sebarang pihak ingin mempunyai maklumat bagi membantu keluarga Nur Baizura, boleh menghubungi talian 016-219 6698 atau 011-3321 7759.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment