Penyanyi, Awie.
KUALA LUMPUR : Kontroversi membabitkan rumah tangga Awie dan isterinya, Rozana Misbun kembali panas apabila penyanyi rock itu mendedahkan mengenai perihal terbaharu Rozana yang didakwa 'merompak' dua orang anak mereka di sekolah bersama beberapa orang bersenjata api pada 9 Februari lalu.
Sebelum ini, mahkamah memutuskan hak penjagaan tiga anak Rozana, 36, dan Awie, 46, iaitu Putra Ahmad Merah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diserahkan kepada Rozana sehingga perintah kekal hak jagaan anak dikeluarkan oleh mahkamah.
Manakala terdahulu, hak itu diberikan kepada Awie bagi hak jagaan sementara secara ex-parte terhadap tiga anaknya itu. Namun selepas apa yang terjadi, Awie cukup terkilan dengan tindakan tidak berdiplomasi Rozana itu yang memberi kesan emosi kepada anak-anak mereka.
"Hingga saat ini anak lelaki saya, Merah masih berada dalam jagaan saya namun tidak mustahil untuk dia (Rozana) melakukan perkara yang sama juga.
"Buat masa ini saya sedang cuba mendapatkan 'home school' untuk Merah kerana bimbang akan keselamatannya pula. Saya juga masih tidak dapat menghubungi anak-anak saya yang telah 'dirompak' oleh Rozana," kata Awie ketika ditemui di sidang media pelancaran album 'Live' Wings Rockestra di Istana Budaya dan Aplikasi Telefon Pintar ' Wings Mobile App' di Istana Budaya, di sini, petang tadi.
Kemelut rumah tangga Awie dan Rozana tercetus lebih setengah tahun lalu. Sepatutnya pada hari Awie merancang untuk membuat bantahan mengenai keputusan hak penjagaan sementara isterinya, pada hari yang sama juga Rozana bertindak 'merompak' dua anak mereka.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman enggan melatah dengan tindakan Rozana itu dan menganggapnya sebagai satu provokasi bagi menjatuhkan dirinya. Awie memilih untuk bersabar dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan tugas mereka.
"Saya bimbang dia (Rozana) akan menghasut anak-anak untuk membenci saya. Tahap kesabaran saya kali ini diuji pada tahap maksimum namun saya tahu saya hanya perlu bersabar menunggu bulan April untuk penghujahan serta keputusan akan dijatuhkan pada bulan Mei.
Saya juga telah melaporkan kepada pihak polis, mahkamah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana dia (Rozana) menghalang anak-anak dari pergi ke sekolah. Hantarlah anak-anak ke sekolah dan jangan rugikan masa depan mereka," tegas Awie.
Menurut Awie, buat masa ini dia begitu bimbang memikirkan masa depan anak-anaknya yang tidak ke sekolah. Ini yang mana Rozana juga pada masa yang sama tidak mempunyai sebarang pekerjaan bagi menanggung anak-anak yang berada di bawah jagaannya.
- Sumber: BH Online | 26 Februari 2015
No comments:
Post a Comment