Wednesday, 25 February 2015

Pos Malaysia keluarkan setem panda hari ini



Pos Malaysia mengeluarkan koleksi setem dan produk filateli terbaharu bertemakan panda sebagai meraikan kehadiran panda Xing Xing dan Liang Liang di negara ini hari ini.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia mengeluarkan koleksi setem dan produk filateli terbaharu bertemakan panda sebagai meraikan kehadiran panda Xing Xing dan Liang Liang di negara ini hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Azlan Shahrim berkata koleksi itu sebagai simbol hubungan kukuh antara Malaysia dan China.

Setem itu boleh diperoleh di semua pejabat pos di seluruh negara.

"Koleksi ini dikenali sebagai Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi.

"Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan usaha-usaha pemuliharaan dan kepentingan hidupan liar serta kelestarian biodiversiti," katanya dalam kenyataan semalam.

Azlan berkata istimewanya keluaran pada kali ini ialah lembaran mini yang dicetak khas menggunakan kertas flok iaitu sejenis gentian berbulu halus dengan ciri keselamatan.

Setem berupa lembaran mini yang berukuran 80mm x 90mm itu memaparkan panda jantan (Xing Xing) bermaksud kemakmuran dan panda betina (Liang Liang) yang bermaksud cantik itu dijual pada harga RM8 setiap satu.

Selain itu dua setem biasa berukuran 28mm x 45mm yang dicetak pada kertas setem fosfor hijau kuning, memaparkan kedua-dua panda boleh didapati pada harga 70 sen setiap satu.

Sampul surat Hari Pertama turut dijual pada harga 50 sen sekeping dan RM1.90 dengan satu setem, sampul dan lembaran mini pada harga RM8.50, folder, RM6 setiap satu atau RM52.40 untuk satu set lengkap.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment