KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai ahli geng samun, cedera di paha kanan selepas ditembak polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan PCB di sini, semalam.
Serbuan pada jam 10.30 malam itu turut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 39 tahun, juga ahli geng sama.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat samun membabitkan kerugian RM600,000 di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, pada 10 Februari lalu, sepasukan polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bertindak menyerbu rumah tersebut.
Katanya, tiba di rumah tersebut, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Kembara yang dinaiki dua lelaki, merempuh kereta polis dan hampir menyebabkan kecederaan parah kepada anggota terbabit.
“Untuk mempertahankan diri, beberapa das tembakan dilepaskan bagi mengelak terus dilanggar, namun mereka tetap merempuh bahagian hadapan kereta dan melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.
Mazlan berkata, dalam usaha penjenayah terbabit melarikan diri, pihaknya mengejar suspek sehingga ke Wakaf Mek Zainab dan berjaya memberhentikan kereta serta menahan mereka.
“Suspek yang cedera menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan mempunyai rekod jenayah lampau serta dikehendaki polis. Kedua-duanya direman seminggu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.
“Polis masih memburu dua lagi rakan penjenayah yang berada di dalam rumah dan melarikan diri ketika serbuan. Kerjasama orang ramai untuk memberi maklumat sangat diperlukan dan dengan tangkapan ini dapat menyelesaikan kes samun di Kota Bharu, Tumpat serta Machang,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Farid Hakimi Che Mohd Rani, 17, berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising di luar rumahnya kira-kira jam 11 malam dan selepas itu nampak polis berlari mengejar seorang lelaki.
Menurutnya, dia kemudiannya melihat dua kereta berhenti berhampiran rumah.
“Dalam keadaan kelam kabut, polis beritahu supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan. Saya terus naik semula ke atas rumah memandangkan keadaan tegang,” katanya kepada pemberita.
Mohd Farid berkata, dia turut mendengar dua hingga empat das tembakan dilepaskan sebelum salah seorang suspek dilihat terkena tembakan.
“Memang terkejut lihat kejadian tersebut. Semuanya berlaku dengan pantas dan saya juga nampak ada tiga lagi lelaki yang turut dikejar polis," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment