SERDANG - Dewan Ulama Pas Pusat tidak pernah mengetepikan keupayaan anak muda dalam kepimpinan parti itu namun kriteria itu tidak boleh digunakan dalam pemilihan ketua pembangkang yang baharu.
Pemangku Naib Ketuanya, Datuk Dr Mahfouz Mohamad berkata, pemimpin muda tidak sewajarnya dicalonkan memandangkan jawatan itu perlu diisi oleh individu yang mempunyai keupayaan dan berpengalaman dalam jatuh bangun dunia politik.
"Saya ada dengar suara-suara hendak hantar nama Nurul Izzah untuk jadi ketua pembangkang, tapi itu tidak sepatutnya.
"Sedangkan Tuan Guru Hadi itu banyak pengalaman, lama dalam turun naik dan sudah biasa dengan politik.
"Kalau (presiden Pas) dapat sokongan itu memang setuju sangat jadi ketua pembangkang," katanya kepada pemberita selepas Multaqa Ulama Semalaysia II di Stadium Tertutup MPSJ, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar semalam yang Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpotensi dilantik sebagai ketua pembangkang jika dipersetujui semua pimpinan PR.
Jawatan ketua pembangkang itu menjadi kosong apabila Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu selepas beliau didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.
Jawatan nombor satu dalam PR itu kini menjadi rebutan malah nama Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut disebut-sebut sebagai pengganti jawatan Anwar itu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kekosongan jawatan mursyidul am Pas, Mahfouz berkata pada masa ini, Datuk Haron Din memangku jawatan itu.
Bagaimanapun pengganti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu hanya boleh diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas.
"Saya sudah berbisik dengan setiausaha Majlis Syura Ulama kena bersidang dan mereka kena menentukan hal itu segera," katanya lagi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment