Sunday, 22 February 2015

Fouziah Gous gagal jadi hos?



SEJAK diberikan kepercayaan menjadi hos bagi program popular TV3, Nona, pelakon berusia 32 tahun ini terus menjadi perhatian terutamanya bagi penonton setia program itu.

Walaupun baru sebulan mengendalikan program tersebut, namun sudah ada komen-komen negatif yang dilemparkan kepadanya sepanjang menggalas tugas berkenaan.

Akur dengan situasi itu, empunya nama Nor Fouziah Mohd Gous atau lebih dikenali sebagai Fouziah Gous, bagaimanapun tetap bersyukur kerana tidak dihentam teruk seperti mana segelintir selebriti yang pernah menjadi mangsa kebencian peminat.

"Saya akui bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Lagipun saya bukan pengacara sebelum ini dan sememangnya saya masih belajar untuk menjadi pengacara yang baik.

"Namun saya perlukan ruang dan masa untuk memastikan ianya lebih sempurna berbanding apa yang saya lakukan kini," katanya kepada Zass.

Jelas pelakon Impak Maksima ini, selepas menjalani penggambaran untuk tiga episod pertama, keyakinan mula timbul dalam dirinya ketika mengendalikan program itu.

"Pada awalnya memang rasa bimbang, takut dan tak yakin. Tetapi apabila masuk episod keempat, saya sudah faham apa konsep yang tepat dan apa yang dikehendaki dalam program berkenaan," katanya.

Ditanya apakah perasaannya sepanjang mengendalikannya program itu seorang diri, ujar Fouziah, dia tidak pernah berasa tertekan sebaliknya gembira kerana dapat membuktikan keupayaan diri.

"Mungkin saya tiada teman untuk membantu menyampaikan maklumat dan sebagainya, tetapi saya selesa dengan keadaan tersebut kerana ia banyak membantu saya menjadi seorang hos yang lebih baik.

"Rasanya bukan mudah untuk menimba pengalaman seperti ini," katanya.

Keluarga beri nasihat

Bercerita lanjut mengenai pandangan keluarga, peminat dan penonton Nona, Fouziah berkata, dia sering menerima nasihat yang membina dan akan berusaha untuk melakukan lebih baik.

"Ramai di kalangan ahli keluarga merupakan pengikut Nona dari dahulu lagi, jadi jika ada yang kurang di mata mereka, mereka akan berkongsi dengan saya.

"Malah, respons peminat di laman sosial Instagram juga saya akan ambil tahu. Bukan apa, ia sebagai panduan kepada saya untuk melihat sejauh mana penilaian mereka mengenai prestasi saya sepanjang menjadi hos rancangan ini.

"Memang ada yang menegur, saya agak perlahan dan semua itu saya ambil sebagai panduan untuk majukan diri," kata anak bongsu daripada lima beradik ini.

Fouziah memberitahu, dia juga gembira kerana pihak produksi banyak memberikan bantuan kepadanya.

"Kalau dahulu rakaman terpaksa dibuat beberapa kali, tetapi sekarang semakin kurang. Adakala saya sendiri meminta pihak produksi untuk merakamkan bahagian yang saya kurang puas hati untuk dirakamkan semula. Bagi saya mereka sangat profesional," katanya.

Dalam pada itu, sokongan suaminya, Zhafran Yusof yang tidak berbelah bahagi antara faktor dia bersemangat meneruskan bidang pengacara.

"Tidak salah saya menerima tawaran ini kerana ia banyak memberi saya ruang untuk fokus kepada rumah tangga.

"Lagipun, saya sudah mengikat kontrak selama setahun bersama Nona, jadi saya tidak perlu fikir untuk terima mana-mana tawaran lakonan dan boleh beri fokus kepada program ini sahaja.

"Malah, kalau ada penggambaran memerlukan saya ke luar kawasan atau luar negara, saya akan cuba mengajak suami sekali. Jadi banyak masa saya boleh habiskan bersamanya," katanya yang turut sibuk dengan perniagaan sarang Burung Walit diusahakannya sejak 2013

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment