Wednesday, 11 February 2015

Kayla Mueller sah terkorban, Obama bertegas tidak akan bayar wang tebusan

White House menerima tekanan agar mengkaji semula polisi tidak membayar wang tebusan untuk membebaskan warganya. -Gambar fail

WASHINGTON: Beberapa jam selepas mengesahkan kematian seorang tebusan warga Amerika Syarikat (AS) yang diculik di Syria, Presiden Barack Obama menegaskan kerajaannya tidak akan sesekali membayar wang tebusan.

Walaupun memahami kedukaan yang menimpa keluarga mangsa, namun polisi kerajaan tidak membenarkan bentuk pembayaran sebagai balasan untuk membebaskan mangsa.

“Itulah satu perkara yang paling sukar perlu saya lakukan," kata Obama kepada BuzzFeed dalam satu temu bual susulan kematian warga AS, Kayla Mueller.

Pekerja bantuan dari Arizona berusia 26 tahun itu diculik pada bulan Ogos 2013 di Aleppo.

Kumpulan pengganas IS mendakwa Kayla telah terbunuh dalam serangan udara Jordan di bandar Raqa, Syria.

White House menerima tekanan agar mengkaji semula polisi tidak membayar wang tebusan untuk membebaskan warganya.

Dilaporkan beberapa mangsa penculikan di Eropah telah dibebaskan susulan tindakan kerajaan membayar wang tebusan.

Polisi ini dibuat kerana "sebaik sahaja kita mula berbuat demikian, bukan sahaja kita membiayai penyembelihan mangsa yang tidak berdosa dan mengukuhkan organisasi mereka, tetapi kita sebenarnya sedang menjadikan Amerika sasaran penculikan yang lebih besar di masa depan," kata Obama. - Sumber: AFP

No comments:

Post a Comment